Friday, August 1, 2008

Firewall Mantop! (bhgn kedua)

Firewallnya adalah tidak lain tidak bukan kita kena beruzlah! Ya, beruzlah dan mengasingkan diri di dalam mana-mana gua atau hutan belantara. Dengan demikian, segala macam bahaya kesesatan dan kemaksiatan yang berleluasa di dunia kita ini dapat atasi!

Bukankah Nabi Muhammad dahulu pun menghindarkan diri daripada kesesatan masyarakat Quraisy dengan beruzlah di gua hira’?

Bukankah pemuda-pemuda Kahfi beruzlah seterusnya ditidurkan Allah di sebuah gua? Mereka pun melarikan diri kerana dipaksa menyembah berhala oleh pemerintah!

Baiklah, sekarang saya menyeru marilah kita sama-sama pergi ke Gua Niah atau Gua Musang untuk beruzlah. Jom!

Jap...Nanti dulu!

Adakah dengan mengasingkan diri di tempat yang tiada orang dapat menyelamatkan kita daripada segala bahaya tersebut? Bukankah Iblis tu dah janji nak sesatkan dari segala segenap sudut, kiri kanan, depan dan belakang? Di mana pun kita pergi konco-konconya mesti ikut sama.

Iblis menjawab: "Kerana Engkau telah menghukum aku sesat, aku benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus, kemudian aku akan mendatangi mereka dari depan dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat). (Al A’raf 7:16-17)

Bukti komitmen iblis dengan janjinya ini adalah ramai orang-orang yang mengasingkan diri kononnya bertapa dan menyucikan diri akhirnya terdedah kepada kesesatan. Ada yang mengaku didatangi malaikat dan diberi wahyu oleh Tuhan, malah ada yang mengaku diberi kebebasan untuk tidak melakukan amal ibadah lagi, kerana dia telah sampai peringkat tertinggi pengibadahan.

Mengapa semua ini terjadi? Ini kerana dia keseorangan. Ya, dia tidak kuat untuk melawan setiap bahaya yang mendatang. Betullah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;

”Sesungguhnya serigala itu akan membaham biri-biri yang terlepas dari kumpulannya...”

Bagaimana pula dengan kes Rasulullah SAW dan pemuda Kahfi? Sesungguhnya kedua-dua situasi tersebut tidak sama dengan situasi sekarang.

Rasulullah SAW beruzlah kerana di kala itu kesyirikan begitu dominan sehingga digelar zaman Jahiliyyah. Allah SWT mengilhamkan baginda agar beruzlah itupun adalah dalam rancangan menyediakan baginda untuk memikul beban dakwah Islamiyah.

Pemuda Kahfi juga mengalami tahap genting dalam mempertahankan keimanan mereka. Sehinggalah puncak segalanya bila nyawa mereka diancam jika kekal beriman.

Adakah situasi kita seteruk dua kes di atas sehingga membenarkan kita beruzlah? Tidak sama sekali! Kita masih lagi boleh beribadah dengan tenang tanpa diganggu. Islam masih mendapat tempat di negara kita (walaupun tidak seperti yang sepatutnya).

Oleh yang demikian ulama kontemporari mengemukan satu kaedah iaitu, di zaman sekarang ini kita dituntut beruzlah. Tapi, bukan uzlah jasadi, tetapi uzlah nafsi!

Apa itu uzlah jasadi dan uzlah nafsi! Apakah perbezaan keduanya? Nantikan artikel yang akan datang...

Bersambung....

Baytul Fareed

4:44 pm

0 comments: