Friday, August 29, 2008

Agent BN!


Anda tentu hairan dengan tajuk entri saya kali ini. Tentu dalam benak anda tertanya-tanya adakah penulis blog ini sudah mengalihkan fokus blognya kepada blog politik?

BN = Barisan Nasional

Bukan! Sebenarnya saya ingin berkongsi pengalaman saya berJIHAD menentang pihak musuh yang sangat kuat. Mereka menyerang dari segenap sudut dan berbagai cara hinggakan saya terpaksa menggunakan segala muslihat dan tipudaya yang termampu.

Agent BN

Musuh yang saya maksudkan adalah Agent BN ataupun nama penuhnya Adware.Agent.BN. Musuh inilah yang telak cuba menakluk dan menguasai laptop Acer TravelMate 4150 saya. Ia jugalah yang telah menyebabkan saya tidak sempat mengUPDATE blog, malah agak 'tension' sejak kebelakangan ini.

Sebaiknya saya cerita sedikit bagaimana perkenalan dan susur galur permusuhan saya dengan Adware.Agent.BN ini.

Ceritanya bermula 2 minggu lepas, apabila saya memuat turun (download) satu 'software' menggunakan Utorrent. Setelah saya meng'install'nya, tiba-tiba antivirus laptop saya ketika itu (ESET NOD32) mengeluarkan amaran dan menghentikan beberapa serangan! Tapi, dalam keadaan kelam kabut itulah musuh ini menyeludup masuk ke dalam laptop saya...

Maka bermulalah episod gelap yang menimpa laptop Acer saya. Ini adalah serangan -serangan yang telah dilancarkan:

1. bertindak sebagai admin dan men'disable'kan Task Manager dan regedit (Registry Editor)
2. meng'hilang'kan Hard Disc (kedua-dua partition C dan D)
3. menghilangkan fungsi Control Panel, Program File, run dll di menu START
4. menghalang ekses kepada sebarang laman web antivirus yang 'power' (Kaspersky, Bitdefender, Avira dll)
5. menggunakan RAM laptop saya (yang sedia sikit itu) sehingga meLEMBABkan laptop saya ke tahap maksimum!
6. menyamar sebagai Windows dan mengeluarkan amaran palsu (contohnya Virus Alert!/Someone may use spyware to hijack your computer... dll)

Serangan balas!

1. Saya mengINSTALL antivirus baru, Avira (tapi yang FREE punya) - tidak berkesan
2. Spyware Doctor - berjaya mengesan lebih kurang '200 ekor' musuh dan mengesan Adware.Agent.BN (tapi tidak mampu membunuhnya)
3. RegistryFix (untuk perbaiki registry yang diubah) - tidak banyak membantu kerana musuh telah men'disable'kan regedit.
4. Kaspersky Internet Security - banyak membantu, tetapi tidak dapat update definition kerana bila connect server kaspersky je, terus connection terminated oleh Sang Musuh!
5. Ad-aware 2008 (trial version) - membantu, tetapi biasa la trial version katakan...
6. Format laptop! - malangnya CD-drive Acer TravelMate 4150 saya telah rosak kira-kira sebulan yang lalu...

Siapakah Agent BN?

Perisik-perisik saya telah dapat mengenalpasti profail musuh dan di bawah adalah maklumat tersebut:

Nama: Agent.BN
Nama penuh: Adware.Agent.BN
Pernah dikenali sebagai: Adware.Agent.NAL, AdWare.BHO.NXM, Backdoor.Win32.Delf.cak AdWar
Level: High
Negara Asal: Russia/Slovakia

Gerakerja:
1. adds a run key to the registry so it is run at startup (hidup setiap kali start komputer)
2. produces pop-up advertisements and modifies the Windows System configuration in order to enable the downloading of other malware on the computer (ubah konfigurasi Windows dan men'jemput' malware seperti adware, spyware, trojans, worms etc beramai-ramai memasuki komputer anda)
3. installs a downloader together with its main process that re-downloads the parasite once it is removed (malware yang di'remove' dapat hidup balik!)

Agent BN BAHAYA kerana;
1. can present itself as a toolbar (menyamar sebagai toolbar yang jika di'click' bawa kita ke website yang penuh dengan MUSUH)
2. logs your internet browsing history (check maklumat dan data-data yang anda masukkan dalam internet)
3. displays lots of annoying advertisements (paparkan iklan-iklan yang mengganggu)
4. may infect your system via spyware or freeware (menjangkiti sistem anda)
5. may repair its files, spread or update by itself (pandai mengubati 'kecederaan' dan bertambah kuat - ni dah macam cerita Dragonball je..)
6. may prove difficult or impossible to remove (terbukti hampir mustahil dibunuh)
7. violates your privacy and compromises your security (mengganggu kerahsiaan dan membahaya keselamatan anda - bila dia curi data & maklumat sulit, akaun bank dll anda )

Sesungguhnya saya masih lagi bertungkus-lumus melawan agen tersebut. Insyaalah hingga ke titisan peluh yang terakhir...Saya telah berjumpa beberapa cara untuk mengatasi masalah ini, dan hasilnya insyaallah saya akan update di blog ini. Kepada semua pembaca, mohon doakan saya ye...

Wassalam..
Baytul Fareed
1:14 pm

Thursday, August 21, 2008

Hari Ini Dalam Sejarah! (Edisi Khas ROQ '08)

Hari ini genap 39 tahun berlakunya peristiwa tersebut. Suatu peristiwa yang mencabar hati nurani Umat Islam sedunia. Peristiwa yang menyaksikan akidah dan keimanan mereka diperlakukan dengan begitu rendah. Ya, peristiwa itu berlaku pada 21 Ogos 1969!

Apa yang terjadi?

Hari itu seorang lelaki berbangsa Australia, Dennis Michael telah membakar Masjid Al Aqsa! Api marak telah membakar tembok dan mimbar Shalahuddin. Api menyala dengan dahsyatnya sehingga seolah-olah Masjid yang menjadi kiblat pertama umat Islam itu tidak akan wujud lagi.

Pihak bomba tidak pula hadir untuk menghulurkan bantuan. Umat Islam Palestin, masyarakat yang diberkahi dan diamanahkan untuk berada di sekitar kawasan suci itu berusaha sekuat tenaga untuk memadamkan api. Tidak kira lelaki dan wanita, tua muda semuanya turut membantu.

Akhirnya, Allah SWT masih lagi menginginkan Masjid Al Aqsa terus bertapak di buminya. Dia telah melindungi dan menyelamatkan Masjid Al Aqsa. Akhirnya, api dapat dipadamkan.

Pengadilan Palsu

Setelah itu, orang-orang yahudi berpura-pura mengadili Dennis Michael. Micheal mendakwa bahawa dia diutuskan Tuhan untuk melakukan pembakaran itu sesuai dengan berita daripada Kitab Zakaria. Zionis Yahudi dengan selamba membebaskan Dennis dengan alasan 'gila'. Maka, atas sebab itu dia tidak dapat dipertanggungjawabkan atas kejadian tersebut.

Pengadilan pura-pura ini tidak dapat diterima sama sekali oleh Umat Islam sedunia. Negara-negara Umat Islam seluruh dunia bangkit bersatu hati untuk mempertahankan Masjid suci dan mengecam perbuatan keji tersebut. Maka, sejak peristiwa itu, 21 Ogos setiap dijadikan Hari Al Quds Seduania!

Remembrance Of Al Quds Day (ROQ)

Akhir-akhir ini, kita mengetahui adanya usaha-usaha untuk meruntuhkan Masjid Al Aqsa. Di bawahnya dibuat terowong-terowong dan dibina asas-asas Haikal Sulaiman (Sinagog Yahudi). Mereka ingin melemahkan dasar-dasar Masjid Al Aqsa, sehingga masjid itu runtuh dan mereka dapat membina Haikal Sulaiman.

Pendedahan ini mendapat respon yang besar di hati Umat Islam sedunia. Umat Islam di Malaysia yang SEDAR turut merasai bahang perjuangan menuntut pembebasan Al Quds dari nodaan Zionis Yahudi, dan akhirnya mereka menganjurkan Remembrance Of Al Quds Day (ROQ).

4 tahun lepas, ketika ROQ baru diperkenalkan di negara kita, sambutan daripada masyarakat agak 'biasa'. Mereka masih lagi teruja dengan Akademi Fantasia dan Program-program realiti lainnya yang 'hot' ketika itu.

Tetapi, begitulah setiap tahun ROQ terus diadakan. Aktivis-aktivis Palestin di negara kita tidak jemu-jemu mengadakan Seminar, Talk, Tayangan Video, Pameran dan Roadshow untuk mengketengahkan isu yang besar ini. Ketika itu, UIAM menjadi antara pentas utama aktivis-aktivis dengan diadakan TAQUE (Tears Of Al Aqsa) besempena dengan Convest (Convocation Festival).

Kehadiran pelajar-pelajar Palestin turut memeriahkan lagi ROQ di UIAM. Al Aqsa Friend Society, wadah utama pelajar-pelajar Palestin di Malaysia turut menganjurkan program-program bersama!

ROQ '08

Alhamdulillah, hari ini isu Palestin semakin mendapat tempat di hati umat Islam di Malaysia. Media massa mulai terbuka dalam membicarakan tentang isu ini. IPT-IPT seluruh negara mula mengadakan program-program di lokaliti masing-masing. Mahasiswa diajak untuk 'celik' isu Palestin.

Masyarakat umum juga tidak ketinggalan. Saban hari, ceramah-ceramah Palestin diadakan dan aktivis-aktivis sibuk mengisi program-program terbabit. Malah sekolah-sekolah pun mula membuka pintu untuk diadakan pameran dan ceramah Palestin.

Kesimpulan

Isu Masjid Al Aqsa adalah isu umat Islam sedunia, bukan isu bangsa Palestin semata-mata. Al Aqsa adalah kiblat umat Islam yang pertama. Buminya digelar bumi anbiya'. Usaha membebaskan Al Aqsa yang pertama berjaya dilakukan di Zaman Khalifah Umar Al Khattab. Kemudian disambung oleh Shalahuddin Al Ayyubi.

Kini, sekali lagi Al Aqsa dijajah, malah dinodai dan diaibkan oleh Zionis Yahudi. Maka, umat ini WAJIB membebaskan semula masjid suci itu...

p/s:- Mari kita hadiri program-program Palestin di tempat anda! Ramaikan dengan mengajak sahabat handai serta keluarga!

www.palestinkini.info
www.infopalestina.com

Baytul Fareed
Selesai pada 1:54 pm

Wednesday, August 20, 2008

Tolok Ukur Keberhasilan (Edisi Special Ramadhan)


"Aduh, rugi betul Ramadhan tahun lepas, tak sempat nak khatamkan 30 juz Al Quran sebab dekat-dekat raya banyak pula benda nak kena "settle"!"

"Sebenarnya saya sejak awal-awal lagi mendambakan Ramadhan yang sukses, tapi bila masuk saja bulan Ramadhan, banyak pula halangan dan kerja-kerja yang mendatang sampaikan "target" ibadah tak tercapai..."

"Waah, Ramadhan lepas saya untung besar! Bisnes saya di bulan ini benar-benar "booming"! Memang Ramadhan ni bulan yang berkah. Rezekipun melimpah ruah!"


Di atas merupakan antara cakap-cakap yang dapat kita dengar selepas berakhirnya bulan Ramadhan. Ada yang kecewa dan ada pula yang berjaya. Kekecewaan dan kejayaan mereka ini sudah tentu bergantung pula bagaimana mereka mengukur keberhasilan mereka di bulan yang mulia ini.

Sebenarnya, ramai orang yang menyangka mereka benar-benar berpuasa dan berjaya dengan sesungguhnya di bulan Ramadhan, tetapi Rasulullah SAW pernah bersabda;

"Betapa ramai orang yang berpuasa, namun dia tidak mendapatkan apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan dahaga..." (HR Bukhari dan Muslim)

Oleh yang demikian, sempena kedatangan Ramadhan yang semakin dekat ini, mari kita lihat apakah tolok ukur (paramater) kejayaan atau kegagalan seseorang dalam Bulan Ramadhan. Poin-poin di bawah ini diambil dan diolah daripada buku "Manajemen Ramadhan: Menuju Ramadhan Terindah" karya Ustaz Solikhin Abu 'Izzudin.

1. Warm Up
Memperbanyakkan ibadah sunah di bulan Sya'ban berfungsi sebagai warm up bagi rohani, jasad dan mental kita. Berpuasa sunat, memperbanyakkan tilawah Quran, solat malam dll akan menyediakan satu suasana yang kondusif bagi hati dan diri seseorang untuk menunaikan ibadah di bulan Ramadhan. Warm up ini sangat penting bagi mengelakkan "keterkejutan" yang dapat mengganggu kelancaran ibadah kita.

2. Target
Sesorang yang bersungguh-sungguh untuk meraih ganjaran yang dijanjikan di bulan Ramadhan, nescaya dia akan membuat sasaran-sasaran yang ingin dicapai. Tilawah Al Quran, Hafazan, Infaq/Sedekah, Membaca Buku Islami, Qiam, Iktikaf dan ibadah sunah yang lain perlulah ditentukan sasarannya. Dengan sasaran yang jelas, kita dapat membayangkan bagaimana Ramadhan yang kita ingini dan seterusnya berusaha untuk mencapainya. Sasaran ini boleh dilakukan secara individual ataupun kolektif.

3. Panca Indera
Puasa juga bererti manahan semua panca indera daripada perkara-perakra yang diharamkan. Seseorang tidak dapat dikatakan berpuasa dengan sesungguhnya apabila kata-katanya penuh dengan umpatan, fitnah, caci maki, lucah dan lain-lain. Juga matanya, tidak terhindar daripada meng"usha" perempuan/lelaki dengan nafsu, dan perkara-perkara yang diharamkan.

4. Malamnya
Suatu ciri khas dalam bulan Ramadhan ialah umat Islam diajarkan Rasulullah SAW untuk menghidupkan malam dengan solat sunat Tarawikh, Qiamullail, Tilawah Al Quran, Berzikir dan berdoa. Jika malam kita di bulan "Karnival Ibadah" ini sama sahaja seperti malam-malam di bulan yang lain, dipenuhi dengan menonton tv, bermain game, berborak kosong, dan membuang masa, sudah tentu tiada lagi keistimewaan Ramadhan yang tinggal!

5. Saat Iftar (Berbuka puasa)
Seringkali saat ini dijadikan upacara "membalas dendam". Kelaparan yang tertahan sejak siang harinya dilunasi dengan melahap dan "mengketedarah" semahu-mahunya. Anatara hikmah puasa seperti mengajar sikap berjimat, musnah begitu sahaja apabila banyak wang dihabiskan untuk membeli juadah berbuka demi memuaskan nafsu lapar.

6. Infaq dan Sedekah
Rasulullah SAW adalah peribadi yang sangat pemurah. Tatkala Ramadhan tiba, ke"pemurah"an baginda bahkan semakin bertambah. Di bulan Ramadhan, amal kebaikan digandakan berlipat kali ganda. Mungkin puluhan, ratusan atau ribuan kali ganda daripada bulan biasa. Momentum ini sangat besar nilainya, dan sudah tentu bagi yang memahami, tidak akan mempersia-siakannya!

7. Menjelang Hari Raya
Sepuluh hari terakhir Ramadhan merupakan kemuncak Karnival Ramadhan. Di malam-malamnya disunatkan iktikaf di masjid-masjid. Perindu-perindu Allah SWT akan berusaha bersungguh-sungguhnya di malam-malam nya bagi mendapatkan kurnia terbesar di bulan Ramadhan iaitu Lailatulqadar. Suatu malam yang nilainya melebihi seribu bulan. Namun, seringkali fokus utama umat Islam diubah. Bagi 10 hari Ramadhan ini disibukkan dengan persiapan menyambut Aidilfitri. Mengecat rumah, membeli perabot baru, menukar langsir baru, membuat kuih muih dan lain-lain...

8. Saat Lebaran
Majlis Penutup Karnival Ibadah ini sepatutnya dirayakan dengan penuh kesyukuran, ukhuwah, dan saling mengucapkan selamat. Kita diajarkan Rasulullah SAW untuk berziarah ke rumah saudara-mara, sahabat handai dan mengeratkan silaturrahim. Tetapi, ramai juga di kalangan kita yang "melepas geram" dengan membuat perkara-perkara yang hampir-hampir berlawanan dengan objektif Karnival Ramadhan iaitu melatih TAQWA.

9. Selepas Ramadhan
Di bulan Syawal, kita disunatkan berpuasa 6 hari daripadanya. Juga, diharapkan 30 hari berpuasa dan beribadah akan menerbitkan kebiasaan yang baik. Masjid-masjid dan musolla diharapkan penuh dengan graduan-graduan madrasah Ramadhan. Namun, biasanya sebaliknya yang terjadi. Masjid dan musola menjadi lengang, dan umat Islam kembali kepada "Fitrah" mereka seperti bulan-bulan sebelumnya...

Begitulah secara umumnya 9 perkara yang perlu diperhatikan oleh kita dalam menentukan "keberhasilan" - ayat indon skit - kita dalam meraih pahala di bulan Ramadhan Al Mubarak yang akan menemui kita tidak lama lagi. Jadi, diharapkan kita semua dapat mengambil manfaat bersama-sama...

Wallahu a'lam...
Baytul Fareed
Selesai pada 1:54 pm

Sunday, August 17, 2008

Jom Heboh! (Edisi Special Ramadhan)

Ku mengharap kan Ramadhan kali ini penuh makna, Agar dapat ku lalui dengan sempurna...

Lirik nasyid kumpulan Raihan dan Man Bai di atas semakin hari tergiang-giang di telinga. Maklumlah hari ini (ketika artikel ditulis) pun dah 15 Sya'ban, lebih kurang 2 minggu lagi ,dah masuk bulan Ramadhan. Jadi, dalam kesempatan kali ini kita akan membincangkan bagaimana hendak meng'HEBOH'kan Pesta Beribadah ini.

Teladan Generasi Rabbani

Rasulullah SAW dan para Sahabat RA sebenarnya sangat-sangat menanti kedatangan Ramadhan. Hinggakan 2 bulan sebelum itupun yakni Rejab dan Sya'ban mereka meminta-minta kepada Allah SWT untuk menemukan mereka dengan Ramadhan. Baginda mengajarkan kepada kita supaya berdoa seperti berikut;

"Allahumma baariklanaa fii rajab wa sya'ban, wa balighna ramadhaan!"
"Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya'ban, dan temukanlah kami dengan Ramadhan."

Soalan: Mengapa Rasulullah dan para Sahabat begitu beria-ia menunggu datangnya Ramadhan, sedangkan jika ditanya, rata-rata Umat Islam hari ini mungkin tidak tahu pun bahawa mereka telahpun begitu hampir dengan Ramadhan?

Saya masih teringat sewaktu saya dan rakan-rakan membuat 'operasi' di Cameron Highland kira -kira 2 tahun lepas. Ketika itu, kami mengedarkan 'bookmark' Ramadhan kepada masyarakat di Ringlet. Sambil bertanya khabar dan beramah mesra, kami bertanyakan juga apakah persiapan mereka menyambut Ramadhan tahun tersebut.

Rata-rata yang ditemui agak 'pelik' dengan soalan kami kerana bagi mereka terlalu 'awal' untuk bercerita tentang Ramadhan ketika itu. (operasi itu diadakan di awal sya'ban, lebih kurang sebulan lagi Ramadhan). Bagi mereka, sekarang BARU awal bulan sya'ban...

Ha, saya rasa begitulah umumnya pandangan masyarakat terhadap bulan yang mulia ini. Oleh itu, sudah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mengHEBOHkan promosi-promosi hebat dan MEGASALES ini kepada mereka.

Persiapan-persiapan

Bagi memastikan kita semua mampu menghadapi Ramadhan yang akan datang ini dengan penuh makna, sudah sepatutnyalah kita membuat persiapan-persiapan yang sewajarnya. Secara ringkasnya terdapat 6 persiapan penting;

1. I'dad Maknawiy (Persiapan Spiritual)
Di bulan Rejab dan Sya'ban, kita telah mempersiapkan rohani supaya bersedia dan merindukan Ramadhan. Baca kembali fadhilat-fadhilat yang telah dijanjikan Allah kepada kita. Tulis dan tampalkan hadith-hadith yang memberi motivasi dan membangkitkan semangat. Dan, tidak lupa berdoa sepertimana telah diajarkan Rasulullah SAW.

2. I'dad Fikriy (Persiapan Intelektual)
Ulangkaji kembali ilmu-ilmu tentang ibadah Puasa (Fiqh Siyam). Apakah perkara-perkara yang membatalkan puasa? Makruh puasa? Sunat Puasa? dll...

3. I'dad Kitabiy (Persiapan Bertulis)
Sepertimana perayaan-perayaan lain yang disambut di negara kita, sepatutnya lebih-lebih lagilah bagi bulan Ramadhan. Bagi yang mempunyai ruang, buatlah banner-banner, kain rentang, poster-poster untuk dihebahkan kepada orang ramai akan kedatangan Ramadhan. Penuhi jalan-jalan raya, kedai-kedai, kolej, universiti dll dengan kedatangan Ramadha.. (wow, cuba bayangkan!)

4. I'dad Maaliy (Persiapan Harta Benda)
Kita maklum bahawa di bulan Ramadhan pahala sedekah dan infaq kita berganda-ganda. Oleh itu, awal-awal lagi kita perlu berjimat-jimat sebelumnya. Dalam masa yang sama kita dapat berlatih menjauhi sikap boros dan membazir. Wang yang dijimatkan bolehlah kita belanjakan untuk tujuan dakwah, dan membantu umat Islam di Palestin, misalnya...(FAST2FUND!)

5. I'dad Jasadiy (Persiapan Fizikal)
Jom, pergi gym! Kawan-kawan, berpuasa memerlukan kekuatan fizikal dan tenaga untuk melaksanakannya. Kalau tidak 'fit', mesti ramai yang tertidur dalam kelas atau di tempat kerja. Jadi, biasakan puasa sunat Isnin dan Khamis, bersenam, dan mengamalkan hidup sihat supaya tatkala Ramadhan tiba, tiada lagi alasan UZUR...

6. I'dad Amaliy (Persiapan Amalan)
Sangat penting agar tidak berlaku 'shock' yang keterlaluan. Puasa Sunat di bulan-bulan Rejab dan Sya'ban akan membiasakan kita dengan suasana di bulan Ramadhan. Kita juga boleh mula perbanyakkan bacaan Al Quran (agar tidak tergagap-gagap di bulan Ramadhan), solat sunat (tidak terketar-ketar waktu solat Tarawikh) dan ibadah-ibadah yang lainnya...

Macamana? Boleh HEBOHkan Ramadhan tahun ini? Inyaallah, sama-samalah kita...ye!

Wallahu a'lam.
Baytul Fareed
1:38am



Thursday, August 14, 2008

Chit Chat Bersama Sahabat RA!


Abu Hurairah:

Seseorang mendatangi Abu Hurairah RA dan berkata, "Aku ingin belajar, tapi aku takut kehilangan ilmu dan tidak mengamalkannya."
Abu Hurairah menjawab, "Engkau akan lebih kehilangan ilmu dengan tidak mempelajarinya."

Amru bin Al 'Ash:

"Orang yang berakal itu bukan orang yang mengetahui yang baik dari yang buruk. Akan tetapi orang yang berakal itu orang mampu mengenali mana yang baik di antara dua keburukan."

Ibnu Abbas RA:

"Kebaikan tidak sempurna kecuali dengan 3 perkara; bersegera dalam melakukannya, dianggap hal yang kecil di mata pembuatnya, dan menyembunyikannya dari manusia."

Salman Al Farisi RA:

"Perumpamaan hati dan jasad adalah seperti Si Buta dengan Si Lumpuh. Si Lumpuh berkata, "Aku melihat buah, tapi aku tidak dapat berdiri untuk mengaitnya, maka gendonglah aku." Maka Si Buta menggendongnya sehingga dia dapat makan dan menikmati rasanya."

Abud Darda' RA:

"Tanda bahawa seseorang itu bodoh ada 3; bangga pada diri sendiri, banyak bicara yang tiada gunanya, dan melarang melakukan sesuatu sebaliknya dia sendiri melakukannya."

Dikutip dari buku "Untaian Hikmah Pembersih Jiwa" karangan Syaikh Shalih Ahmad Asy Syami.



Dunia Islam Hari Ini (bhgn ketiga)

Kelemahan Kedua: Pendidikan (Tarbiyah)

Ingin saya maklumkan di awal-awal perbincangan ini bahawa pendidikan yang dimaksudkan tidak hanya meliputi aspek pelajaran. Ya, terdapat perbezaan di antara pendidikan dan pelajaran. Jika boleh saya ringkaskan, pelajaran termasuk salah satu aspek dalam pendidikan.

Kenapa saya berkata demikian?

Kerana secara umumnya, jika dilihat di negara kita sendiripun orang-orang melayu yang beragama Islam tidaklah begitu tercicir dalam pelajaran. Malah berbagai-bagai usaha dilaksanakan agar orang-orang melayu (juga Islam) mendapat tempat dalam IPT, seperti melaksanakan sistem kuota dan mewujudkan IPT yang khusus.

Namun, realiti tersebut tidak dapat membantu menyelesaikan masalah-masalah keruntuhan moral yang mewabak dari hari ke sehari. Malah di IPT, sering kita dengar kes-kes zina, murtad, dadah dan lain-lain. Mengapa tingginya pelajaran yang mereka pelajari, tidak dapat menjamin ketinggian akhlak mereka?

Jawapannya, pelajaran yang diperolehi hanya setakat di kepala. Mungkin, terdapat pelajaran agama Islam, akhlak dan moral yang dipelajari di sekolah-sekolah dan IPT, namun ilmu tersebut tidak menurun ke hati ataupun dengan kata lain tidak di-internalize- kan. Oleh itu, mereka tidak lemah pelajarannya, tetapi lemah pendidikan.

Pendidikan Islam

Di dalam Bahasa Arab, Pendidikan diertikan sebagai Tarbiyah. Kata akar bagi tarbiyah adalah rabba-yarbu (tumbuh berkembang), rabiyya-yarba (tumbuh secara semulajadi) dan rabba-yarabbu (memperbaiki, meningkatkan).

Dilihat dari maksud secara bahasanya sahaja kita memaklumi bahawa pendidikan (tarbiyah) yang ideal itu sifatnya menyeluruh, tidak hanya mengisi keperluan intelektual semata-mata, sebaliknya juga kehendak fizikal dan spiritual.

Pendidikan Islam (Tarbiyah Islamiyah) adalah suatu bentuk interaksi kepada fitrah manusia itu sendiri. Pendidikan Islam menumpukan pertumbuhan, perkembangan dan peningkatan manusia itu secara fitrah dan alami. Ini kerana, Pendidikan Islam ini diajarkan oleh Rasulullah SAW yang menjadi utusan Allah SWT, Tuhan Yang Mencipta manusia.

Islam sebagai sistem (manhaj) yang diturunkan Allah SWT kepada manusia telah menyediakan sarana-sarana yang ampuh untuk mendidik dan membangunkan potensi-potensi yang ada pada manusia.

Sebaliknya, masyarakat Islam hari ini, masih mencari-cari formula dalam mendidik anak-anak mereka. Maka banyaklah karya pengkaji-pengkaji barat yang telah digunakan sebagai panduan dan rujukan. Hasilnya, pendidikan hari ini disempitkan skopnya agar lebih meterialistik, individualistik dan ...tik yang lain lagi.

Bersambung...

(Perbincangan tentang Tarbiyah Islamiyah akan dibicarakan dengan lebih jelas di artikel yang lain)

Gambar di atas dikutip daripada laman www.tutor.com.my

Baytul Fareed

Selesai pada 9:46 am

Monday, August 4, 2008

Dunia Islam Hari Ini (bhgn kedua)

Kelemahan Pertama: Akidah

Ketika Rasulullah SAW diutuskan menjadi Rasul di Makkah, baginda menghabiskan masa selama 13 tahun (daripada 23 tahun dakwah baginda) untuk menanamkan akidah yang salimah (sejahtera) kepada para sahabat RA.

Ayat-ayat Al Quran yang turun di waktu itu juga kesemuanya berkisarkan tentang akidah, yakni keimanan yang benar kepada Allah SWT dan rukun-rukun iman yang lain. Malah ketika itu, umat Islam belum pun lagi disyariatkan ibadah-ibadah seperti puasa, zakat, haji dan lain-lain.

Hasilnya, setelah mantap dan sejahtera akidah mereka, pendirian para sahabat menjadi teguh, kukuh dan bersedia mengorbankan jiwa dan diri mereka kepada agama Allah.

Hari ini?

Akidah yang sejahtera bukan lagi menjadi titik berat dalam diri umat Islam. Mungkin secara teorinya majoriti umat Islam mengetahui keenam-enam rukun Iman yang telah dipelajari di sekolah, tetapi setakat mana kepercayaan tersebut menghunjam ke dalam hati-hati mereka dan menajadi asas kehidupan?

Akidah, secara bahasanya bermaksud ikatan. Hari ini, sejauh manakah umat Islam merasai dan menghayati keterikatan diri mereka dengan Allah dan Islam? Setakat manakah Kalimah Tayyibah (Dua Kalimah Syahadah) yang diikrarkan setiap kali solat mempengaruhi jalan hidup dan perbuatan kita?

Jika umat Islam benar-benar merasai keterikatan itu, bagaimana timbulnya kes-kes murtad, ajaran-ajaran sesat dan penolakkan terhadap hukum-hukum yang telah diperintahkan oleh Allah SWT?

Sesungguhnya, seseorang yang betul-betul menghayati dan beriman dengan Kalimah Tayyibah ini akan menjadi sepertimana difirmankan oleh Allah SWT;

”Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat.” (Ibrahim 14:24-25)

Begitulah, dengan akidah (akar) yang dalam dan teguh, manusia (pokok) yang berdiri setinggi manapun dapat bertahan daripada kesesatan malah mampu menyumbang dan memberi manfaat kepada manusia yang lain.

Tidak seperti seseorang dengan akidah yang lemah dan rapuh, pendiriannya tidak teguh dan begitu mudah digoyahkan olah iblis dan konco-konconya.

”Dan perumpamaan kalimat yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap (tegak) sedikit pun.” (Ibrahim 14:26)

Bersambung....

Baytul Fareed

Selesai pada 4:30 pm

Dunia Islam Hari Ini (bhgn pertama)

*Artikel ini ditulis sebagai sambungan kepada Islam yang Trendy. Di dalam artikel tersebut saya telah mengingatkan bahawa jika Umat Islam di dunia Islam tidak kembali kepada Islam yang sebenarnya, mereka boleh sahaja diganti dengan Umat Islam di Amerika dan Eropah!

Dunia Islam adalah istilah yang digunakan untuk merujuk sejumlah kawasan di dunia ini yang majoriti penduduknya beragama Islam. Ia bermula di Maghribi dan Mauritania di barat sehinggalah ke Indonesia di timur.

Umat Islam pula dimaksudkan semua penganut agama Islam (walaupun bukan berada di Dunia Islam) di dunia ini yang berjumlah lebih daripada 1 bilion.

Seribu tahun yang lampau, umat Islam telah mencapai suatu tamadun yang gilang-gemilang di bawah pemerintahan Khilafah Abbasiyah (750-1258 M). Ketika itu, umat Islam terkenal dengan kemajuannya dalam bidang keilmuan, sains teknologi, sosio-ekonomi dan malah memegang world order.

Ketika itu, Umat Islam sangat dikagumi dan disegani masyarakat dunia. Orang-orang eropah datang beramai-ramai ke Baghdad (pusat pemerintahan Khalifah) untuk mempelajari ilmu-ilmu pengetahuan yang tidak pernah mereka dapati di tempat mereka.

Bagaimana pula dengan hari ini? Lebih kurang 80 tahun kebelakangan ini, setelah jatuhnya Khilafah Uthmaniyah pada 1924 M, umat Islam semakin hari semakin merosot dalam segenap segi. Umat Islam tidak lagi disegani dan dihormati, malah hampir seluruh dunia Islam berada dalam penindasan dan pergolakan.

Lihatlah di mana-mana negara di dunia Islam, di Bosnia, Algeria, Tunisia, Eritrea, Mesir, Palestin, Afghnistan, Turkistan Timur, Chechnya, Selatan Thailand, Filipina, Myanmar, Kashmir dan juga Sudan semuanya mengalami penindasan dan kezaliman terhadap mereka.

Sesungguhnya, gelar khairu ummah (umat yang terbaik) yang telah diberikan Allah kepada Umat Islam telah direngut kembali kerana kita semua tidak lagi menunaikan pra-syarat gelaran tersebut.

”Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.” (Ali Imran 3:110)

Secara umumnya terdapat enam kelemahan-kelemahan yang menyebabkan Umat Islam tidak lagi menjadi Umat yang Terbaik. Untuk menjelaskan kelemahan-kelemahan tersebut, insyaallah akan disambung di dalam artikel yang akan datang...

Baytul Fareed

Selesai pada 3:20 pm

Sunday, August 3, 2008

Firewall Mantop! (bhgn terakhir)


Uzlah Jasadi vs Uzlah Nafsi

Uzlah Jasadi seperti makna lafaznya bermaksud mengasingkan diri secara fizikal daripada keramaian manusia. Hidup di tempat yang jauh dan terpencil sehingga ada yang menghuni gua-gua atau pondok kecil di dalam hutan belantara.

Manakala uzlah nafsi, topik utama kali ini merupakan suatu pengasingan diri daripada kesesatan dan kemaksiatan manusia secara maknawi. Individu yang beruzlah nafsi masih lagi bercampur baur, berinteraksi dan bermuamalah dengan manusia, cuma hati dan dalamannya sahaja tidak terpengaruh dengan mereka.

Tetapi, timbul pula satu lagi persoalan. Bagaimana dalam kita bercampur dengan manusia yang ada di kalangannya melakukan maksiat kita dapat mempertahankan dalaman daripada terpengaruh sama?

Teladan Genarasi Rabbani

Di kalangan para sahabat Rasulullah SAW terdapat satu slogan yang patut dicontohi oleh kita semua, iaitu ijlis binaa nu’min sa’ah. Maksudnya, “Marilah duduk bersama kami, kita beriman sejenak!”

Muadz bin Jabal RA merupakan antara pelopor slogan ini. Beliau sentiasa mengajak sahabat-sahabat yang lain untuk sewaktu-waktu duduk bersama bagi mengingati Allah SWT, nasihat-menasihati dan saling bermuhasabah.

Ibnu Rawahah RA turut mempopularkannya dengan berkata kepada Abu Darda’ RA sambil memegang tangannya;

“Marilah kita beriman sejenak. Sesungguhnya hati lebih cepat berbolakbalik daripada isi periuk yang sedang menggelegak.”

Uzlah Nafsi yang Berjaya

Bagi memastikan uzlah nafsi yang dilakukan itu berjaya, kita memerlukan tembok yang menghalang hati dan diri kita daripada pengaruh yang tidak baik itu. Tembok yang dimaksudkan adalah mencontohi para sahabat RA yang dalam sela-sela waktu tertentu berkumpul sambil duduk-duduk untuk update anti virus. Dalam masa yang sama juga dapat recharge iman dan semangat beramal islami.

Di dalam pertemuan-pertemuan seperti ini, juga boleh dimanfaatkan untuk sama-sama mendalami pengetahuan tentang Islam, saling memotivasi dalam beribadah dan malah boleh bertukar-tukar pandangan tentang pelbagai perkara. Petemuan ini sebaiknya dibuat secara rutin, mungkin seminggu sekali merupakan frekuensi yang baik.


Kesimpulan

Akhir sekali cukuplah sabda Rasulullah SAW ini menjadi motivasi kita semua;

Sesungguhnya Rasulullah SAW pada suatu ketika keluar menuju suatu golongan yang berhimpun dari kalangan sahabat-sahabatnya, lalu bersabda: "Apakah yang menyebabkan engkau semua duduk ini?"

Para sahabat menjawab: "Kami duduk untuk berzikir kepada Allah, juga memuji pada-Nya kerana telah menunjukkan kami semua kepada Ad Dien Al Islam dan mengurniakan kenikmatan Islam itu pada kami."

Baginda bersabda lagi: "Apakah, demi Allah, tidak menyebabkan kamu semua duduk ini melainkan kerana itu?" Sesungguhnya aku bukannya meminta sumpah dari kamu semua itu kerana sesuatu dugaan yang meragukan terhadap dirimu semua, tetapi Jibril datang padaku dan memberitahukan bahawasanya Allah membanggakan kamu di depan malaikat." (Riwayat Muslim)

Dari Abu Hurairah dan Abu Said radhiallahu 'anhuma, katanya: "Rasulullah SAW bersabda, "Tiada sesuatu kaum pun yang duduk-duduk sambil berzikir kepada Allah, melainkan dikelilingi oleh para malaikat dan ditutupi oleh kerahmatan serta turunlah kepada mereka itu ketenangan (dalam hati mereka) dan Allah mengingatkan mereka kepada makhluk-makhluk yang ada di sisinya (disebut-sebutkan hal ehwal mereka itu di kalangan para malaikat)" (Riwayat Muslim)

Wallahua’lam...

Baytul Fareed

Selesai pada 6:23 pm

Gambar di atas dikutip dari http://iluvislam.com dan http://usrahonline.blogspot.com/

Friday, August 1, 2008

Firewall Mantop! (bhgn kedua)

Firewallnya adalah tidak lain tidak bukan kita kena beruzlah! Ya, beruzlah dan mengasingkan diri di dalam mana-mana gua atau hutan belantara. Dengan demikian, segala macam bahaya kesesatan dan kemaksiatan yang berleluasa di dunia kita ini dapat atasi!

Bukankah Nabi Muhammad dahulu pun menghindarkan diri daripada kesesatan masyarakat Quraisy dengan beruzlah di gua hira’?

Bukankah pemuda-pemuda Kahfi beruzlah seterusnya ditidurkan Allah di sebuah gua? Mereka pun melarikan diri kerana dipaksa menyembah berhala oleh pemerintah!

Baiklah, sekarang saya menyeru marilah kita sama-sama pergi ke Gua Niah atau Gua Musang untuk beruzlah. Jom!

Jap...Nanti dulu!

Adakah dengan mengasingkan diri di tempat yang tiada orang dapat menyelamatkan kita daripada segala bahaya tersebut? Bukankah Iblis tu dah janji nak sesatkan dari segala segenap sudut, kiri kanan, depan dan belakang? Di mana pun kita pergi konco-konconya mesti ikut sama.

Iblis menjawab: "Kerana Engkau telah menghukum aku sesat, aku benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus, kemudian aku akan mendatangi mereka dari depan dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat). (Al A’raf 7:16-17)

Bukti komitmen iblis dengan janjinya ini adalah ramai orang-orang yang mengasingkan diri kononnya bertapa dan menyucikan diri akhirnya terdedah kepada kesesatan. Ada yang mengaku didatangi malaikat dan diberi wahyu oleh Tuhan, malah ada yang mengaku diberi kebebasan untuk tidak melakukan amal ibadah lagi, kerana dia telah sampai peringkat tertinggi pengibadahan.

Mengapa semua ini terjadi? Ini kerana dia keseorangan. Ya, dia tidak kuat untuk melawan setiap bahaya yang mendatang. Betullah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;

”Sesungguhnya serigala itu akan membaham biri-biri yang terlepas dari kumpulannya...”

Bagaimana pula dengan kes Rasulullah SAW dan pemuda Kahfi? Sesungguhnya kedua-dua situasi tersebut tidak sama dengan situasi sekarang.

Rasulullah SAW beruzlah kerana di kala itu kesyirikan begitu dominan sehingga digelar zaman Jahiliyyah. Allah SWT mengilhamkan baginda agar beruzlah itupun adalah dalam rancangan menyediakan baginda untuk memikul beban dakwah Islamiyah.

Pemuda Kahfi juga mengalami tahap genting dalam mempertahankan keimanan mereka. Sehinggalah puncak segalanya bila nyawa mereka diancam jika kekal beriman.

Adakah situasi kita seteruk dua kes di atas sehingga membenarkan kita beruzlah? Tidak sama sekali! Kita masih lagi boleh beribadah dengan tenang tanpa diganggu. Islam masih mendapat tempat di negara kita (walaupun tidak seperti yang sepatutnya).

Oleh yang demikian ulama kontemporari mengemukan satu kaedah iaitu, di zaman sekarang ini kita dituntut beruzlah. Tapi, bukan uzlah jasadi, tetapi uzlah nafsi!

Apa itu uzlah jasadi dan uzlah nafsi! Apakah perbezaan keduanya? Nantikan artikel yang akan datang...

Bersambung....

Baytul Fareed

4:44 pm

Firewall Mantop! (bhgn pertama)


Bagi sebuah komputer yang ada acces Internet ataupun LAN/WLAN, Firewall sangat diperlukan untuk memastikan keselamatannya. Firewall bertindak sebagai sebuah tembok kawalan. Setiap maklumat/program yang datang dari dunia luar (internet/network) akan diperiksa, ditapis samada turn away atau pass thru’ berdasarkan setting yang telah dibuat.

Jika anda cuba Turn Off Firewall tersebut, biasanya amaran berikut akan diberi;

Turning Off Window Firewall may make this computer more vulnerable to virus and intruder!

Kita semua maklum yang semakin hari makin banyak bahaya dari luar yang akan cuba pass thru’ umat Islam. Bermacam-macam virus/trojan/spyware/adware/worm yang cuba memasuki dan seterusnya menguasai sistem kehidupan kita. Oleh itu, sudah menjadi kemestian bagi kita agar mengaktifkan Firewall jika ingin mengelakkan ancaman bahaya-bahya yang mendatang.

Sebelum kita bercerita pasal firewall, apakah bahaya-bahaya yang mananti kita semua?

1. Musuh utama - Iblis.

Semasa Nabi Adam as dan Hawa diturunkan ke bumi, bersama-sama mereka adalah iblis terlaknat. Iblis telah bersumpah di depan Allah SWT yang dia akan menggoda dan berusaha menyesatkan anak cucu Adam. Dia akan berusaha dengan segala cara dan segenap sudut yang boleh dimasukinya.

Iblis menjawab: "Kerana Engkau telah menghukum aku sesat, aku benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus, kemudian aku akan mendatangi mereka dari depan dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat). (Al A’raf 7:16-17)

2. Orang-orang Kafir

Golongan ini adalah pendukung kebatilan dan merupakan kakitangan setia iblis dan syaitan dalam menyesatkan manusia khususnya umat Islam. Mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kita umat Islam mengikut jejak langkah kesesatan mereka.

”Sesungguhnya orang-orang kafir itu menafkahkan harta mereka untuk menghalangi (orang) dari jalan Allah. Mereka akan menafkahkan harta itu, kemudian menjadi sesalan bagi mereka, dan mereka akan dikalahkan. Dan ke dalam neraka jahannamlah mereka dikumpulkan...” (Al Anfal 8:36)

3. Hawa Nafsu

Tipu daya hawa nafsu lebih berbahaya kerana ia berada di dalam diri kita sendiri. Memang sangat susah untuk mengekang dan mengawal ia.

”Dan aku tidak dapat membebaskan diriku (dari kesalahan), karena sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Yusuf 12:53)

Setelah semua virus/trojan/spyware/adware/worm sudah diketahui, apa pula firewallnya? Jawapannya, kita sambung di artikel yang lain...

Baytul Fareed

Selesai pada 12:00pm

Masuk ke Dalam Cahaya


Di kala kepekatan malam, ku terus meredah kekelaman, kuayuni langkah penuh keresahan, tanpa kumengerti arah dan tujuan.

Kupasrah dengan ketentuan, kuterus maju ke hadapan, walau hatiku sebenarnya ingin ke belakang.

Di tengah perjalanan, kuberehat sebentar di perhentian, kuselami erti kehidupan, hatiku mengulang-ulang suatu persoalan, kenapakah diriku begitu kesepian…

Tiba-tiba kunampak suatu CAHAYA dari kejauhan, terang benderang ia berkilauan, hingga terpaut hati siapa yang memandang.

Ah, CAHAYA itu semakin berkilauan, bak sang suria di hari siang, hatiku berdebar ingin kepastian, apakah gerangan yang memancarkan sinaran.

Kudapati diriku di luar kawalan, kakiku melangkah tak upaya kuhalang, terus kutujui arah sinaran…

Kini, telah ku sampai destinasi tujuan, kukuatkan tekad serta pengharapan, ke dalam CAHAYA kaki kulangkahkan.

Tiba-tiba riuh rendah kurasakan, kulihat ramai manusia beriringan, wajah berseri-seri penuh senyuman.

Ku disambut penuh kehangatan, ku diraikan bak telah lama menghilang, kurasakan diriku begitu dinantikan…

CAHAYA ini bukan cahaya sebarangan, ia adalah CAHAYA yang dinantikan, CAHAYA abadi yang tak akan terpadam.

Berhimpun di dalamnya pencari sinaran, manusia-manusia yang telah lama kesepian, yang hatinya selalu merindukan kedamaian.

Di dalamnya ada segala kebaikan, ia adalah punca semua kebahagiaan, ia adalah penghapus kabus dan kegelapan...

Dari dalam CAHAYA kulihat ke arah luaran, kuternampak ramai lagi yang di dalam kegelapan, meraba-raba mencari arah dan tujuan.

Hatiku tertanya-tanya sendirian, mengapakah mereka masih kekaburan, sedangkan CAHAYA ini begitu terang?

Ya, CAHAYA ini memang terang, tetapi bukan semua menyukai yang terang, kerana terang mengejutkan lena yang panjang...

Beberapa lama di dalam sinaran, baru kumengerti tugas yang dinantikan, aku sebenarnya pewaris CAHAYA nan gemilang.

Tugasku meneruskan risalah Sang Utusan, menyebarkan CAHAYA bahuku dibebankan,kepada manusia yang tercari-cari sinaran.

Dengan asma Allah aku berjalan, dengan Dakwah dan Tarbiyah aku berjuang!

Selesai pada 17 Mei 2007

4:40 pm

Di kala bumi dibasahi titisan hujan...

Tatkala azan Asar baru berkumandang...