Monday, August 4, 2008

Dunia Islam Hari Ini (bhgn pertama)

*Artikel ini ditulis sebagai sambungan kepada Islam yang Trendy. Di dalam artikel tersebut saya telah mengingatkan bahawa jika Umat Islam di dunia Islam tidak kembali kepada Islam yang sebenarnya, mereka boleh sahaja diganti dengan Umat Islam di Amerika dan Eropah!

Dunia Islam adalah istilah yang digunakan untuk merujuk sejumlah kawasan di dunia ini yang majoriti penduduknya beragama Islam. Ia bermula di Maghribi dan Mauritania di barat sehinggalah ke Indonesia di timur.

Umat Islam pula dimaksudkan semua penganut agama Islam (walaupun bukan berada di Dunia Islam) di dunia ini yang berjumlah lebih daripada 1 bilion.

Seribu tahun yang lampau, umat Islam telah mencapai suatu tamadun yang gilang-gemilang di bawah pemerintahan Khilafah Abbasiyah (750-1258 M). Ketika itu, umat Islam terkenal dengan kemajuannya dalam bidang keilmuan, sains teknologi, sosio-ekonomi dan malah memegang world order.

Ketika itu, Umat Islam sangat dikagumi dan disegani masyarakat dunia. Orang-orang eropah datang beramai-ramai ke Baghdad (pusat pemerintahan Khalifah) untuk mempelajari ilmu-ilmu pengetahuan yang tidak pernah mereka dapati di tempat mereka.

Bagaimana pula dengan hari ini? Lebih kurang 80 tahun kebelakangan ini, setelah jatuhnya Khilafah Uthmaniyah pada 1924 M, umat Islam semakin hari semakin merosot dalam segenap segi. Umat Islam tidak lagi disegani dan dihormati, malah hampir seluruh dunia Islam berada dalam penindasan dan pergolakan.

Lihatlah di mana-mana negara di dunia Islam, di Bosnia, Algeria, Tunisia, Eritrea, Mesir, Palestin, Afghnistan, Turkistan Timur, Chechnya, Selatan Thailand, Filipina, Myanmar, Kashmir dan juga Sudan semuanya mengalami penindasan dan kezaliman terhadap mereka.

Sesungguhnya, gelar khairu ummah (umat yang terbaik) yang telah diberikan Allah kepada Umat Islam telah direngut kembali kerana kita semua tidak lagi menunaikan pra-syarat gelaran tersebut.

”Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.” (Ali Imran 3:110)

Secara umumnya terdapat enam kelemahan-kelemahan yang menyebabkan Umat Islam tidak lagi menjadi Umat yang Terbaik. Untuk menjelaskan kelemahan-kelemahan tersebut, insyaallah akan disambung di dalam artikel yang akan datang...

Baytul Fareed

Selesai pada 3:20 pm

0 comments: