Thursday, August 14, 2008

Dunia Islam Hari Ini (bhgn ketiga)

Kelemahan Kedua: Pendidikan (Tarbiyah)

Ingin saya maklumkan di awal-awal perbincangan ini bahawa pendidikan yang dimaksudkan tidak hanya meliputi aspek pelajaran. Ya, terdapat perbezaan di antara pendidikan dan pelajaran. Jika boleh saya ringkaskan, pelajaran termasuk salah satu aspek dalam pendidikan.

Kenapa saya berkata demikian?

Kerana secara umumnya, jika dilihat di negara kita sendiripun orang-orang melayu yang beragama Islam tidaklah begitu tercicir dalam pelajaran. Malah berbagai-bagai usaha dilaksanakan agar orang-orang melayu (juga Islam) mendapat tempat dalam IPT, seperti melaksanakan sistem kuota dan mewujudkan IPT yang khusus.

Namun, realiti tersebut tidak dapat membantu menyelesaikan masalah-masalah keruntuhan moral yang mewabak dari hari ke sehari. Malah di IPT, sering kita dengar kes-kes zina, murtad, dadah dan lain-lain. Mengapa tingginya pelajaran yang mereka pelajari, tidak dapat menjamin ketinggian akhlak mereka?

Jawapannya, pelajaran yang diperolehi hanya setakat di kepala. Mungkin, terdapat pelajaran agama Islam, akhlak dan moral yang dipelajari di sekolah-sekolah dan IPT, namun ilmu tersebut tidak menurun ke hati ataupun dengan kata lain tidak di-internalize- kan. Oleh itu, mereka tidak lemah pelajarannya, tetapi lemah pendidikan.

Pendidikan Islam

Di dalam Bahasa Arab, Pendidikan diertikan sebagai Tarbiyah. Kata akar bagi tarbiyah adalah rabba-yarbu (tumbuh berkembang), rabiyya-yarba (tumbuh secara semulajadi) dan rabba-yarabbu (memperbaiki, meningkatkan).

Dilihat dari maksud secara bahasanya sahaja kita memaklumi bahawa pendidikan (tarbiyah) yang ideal itu sifatnya menyeluruh, tidak hanya mengisi keperluan intelektual semata-mata, sebaliknya juga kehendak fizikal dan spiritual.

Pendidikan Islam (Tarbiyah Islamiyah) adalah suatu bentuk interaksi kepada fitrah manusia itu sendiri. Pendidikan Islam menumpukan pertumbuhan, perkembangan dan peningkatan manusia itu secara fitrah dan alami. Ini kerana, Pendidikan Islam ini diajarkan oleh Rasulullah SAW yang menjadi utusan Allah SWT, Tuhan Yang Mencipta manusia.

Islam sebagai sistem (manhaj) yang diturunkan Allah SWT kepada manusia telah menyediakan sarana-sarana yang ampuh untuk mendidik dan membangunkan potensi-potensi yang ada pada manusia.

Sebaliknya, masyarakat Islam hari ini, masih mencari-cari formula dalam mendidik anak-anak mereka. Maka banyaklah karya pengkaji-pengkaji barat yang telah digunakan sebagai panduan dan rujukan. Hasilnya, pendidikan hari ini disempitkan skopnya agar lebih meterialistik, individualistik dan ...tik yang lain lagi.

Bersambung...

(Perbincangan tentang Tarbiyah Islamiyah akan dibicarakan dengan lebih jelas di artikel yang lain)

Gambar di atas dikutip daripada laman www.tutor.com.my

Baytul Fareed

Selesai pada 9:46 am

0 comments: