Thursday, July 31, 2008

Mencari Makna Kehidupan Abadi



Testing...testing....
Ujian Pembesar Suara...

"Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya dengan ini merasmikan pembukaan laman blog ibnu-ahmadiy.blogspot.com!"

Alhamdulillah, syukur pada Allah SWT, setelah sehari suntuk bertungkus-lumus menyiapkan templete, akhirnya berjaya juga blog ini dilancarkan. Maklumlah budak baru belajar katakan, itu pun berkat 'bimbingan' dan 'kritikan' membina oleh teman-teman serumah.

Baiklah, kembali kepada tajuk asal. Kenapa saya menceburkan diri dalam bidang blog-memblog ini? Setiap orang mungkin mempunyai pendapat dan tujuan masing-masing mem'blog' ni. Ada yang bertindak sebagai diari online yang dapat berkongsi aktiviti hariannya, ada yang menceritakan pendapatnya tentang sesuatu isu dan malah ada blog yang dijadi promosi diri sendiri.Jadi, bagaimana pula dengan saya?

Kelmarin (Selasa), selepas MABIT (Qiamullail) di Surau Mahallah Zubair, salah seorang sahabat telah memberi tazkirah tentang kisah 3 orang yang akan dihadapkan di depan Allah SWT di akhirat kelak. Pertama (tak pasti urutannya), seorang ahli ibadah yang sepanjang hidupnya beribadah kepada Allah. Kedua, seorang hartawan yang telah menyedekahkan seluruh hartanya untuk jalan Allah, dan ketiga seorang pejuang yang berjihad fi sabilillah serta akhirnya terkorban.

Apa yang terjadi? Ketiga-tiganya ditolak amalan mereka oleh Allah SWT kerana segala perbuatan mereka tersebut didasari dengan tujuan yang selain dari keredhaan-Nya. Ada yang ingin dikenal sebagai kuat beribadah, ada yang hendakkan julukan dermawan dan ada yang mahu dikenang keberaniannya dan kehebatannya menggempur musuh. (Riwayat Abu Hurairah)

Jadi, difikir-fikir semula memang bagaimanalah nasib saya di akhirat kelak? Kalau nak dibandingkan dengan ketiga-tiga orang di atas, mungkin jauh panggang dari apilah saya dari segi ibadah (solat malam, quran, puasa dll), sedekah dan berjihad.

Tapi, saya teringat dalam satu hadith, Rasulullah SAW bersabda yang membawa maksud lebih kurang bahawa manusia masuk syurga bukanlah kerana amalan mereka semata-mata melainkan kerana rahmat dan kurnia Allah SWT.Ini memang betul kerana kalau nak diharapkan ibadah kita di dunia semata-mata, tidak dapat dibandingkan dengan nikmat dan kurniaan-Nya kepada kita. Malah kadang-kadang jika Allah mengkehendaki, tidak mustahil memberi minum kepada anjing yang kelaparan pun menjadi sebab dianugerahkan syurga.

Bagitulah kita masing-masing tidak dapat memastikan, dalam banyak-banyak amalan kita yang manakah diterima oleh Allah. Dalam keadaan kita yang masih sedikit beramal ini, ditambah banyak berbuat dosa pula entah bagaimana nasib di depan Allah nanti. Oleh yang demikian, janganlah meremehkan amalan-amalan yang dianggap kecil kerana mungkin itulah yang menjadi sebab kita termasuk ahli-ahli syurga-Nya.

Kesimpulannya, saya tidak pasti bahawa menulis blog ini menjadi sebab saya masuk syurga nanti. Tapi, siapa tahu?
"... Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selama aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakkal dan hanya kepada-Nyalah aku kembali". (Huud: 88)

Wallahu a'lam...

Selesai pada 7.55 am
Baytul Fareed

0 comments: