Thursday, September 11, 2008

Ramadhan & 10 Muwasofat (bhgn pertama)


Apa khabar semua? Agak lama ya setelah posting terakhir tentang Agent BN. Untuk pengetahuan semua...

ALHAMDULILLAH! Segala puji dan puja bagi Allah SWT!

Akhirnya, berkat doa anda semua laptop saya telah BEBAS dari jajahan Agent BN! Untuk itu saya ucapkan jazakumullah khairan kathiran...

Perincian bagaimana perjalanan perseteruan saya dengan Sang Musuh, insyaallah akan saya ceriterakan dalam kesempatan yang lain, kerana ada beberapa tema yang sepatutnya saya sentuh seperti Edisi Khas Merdeka (31 Ogos) tidak dapat di post. Walaubagaimanapun, dengan izin Allah saya akan sentuh di masa yang lain.

Topik kita!

Baiklah, topik kita kali ini (seperti tertera di atas) merupakan satu refleksi kepada kita semua apakah hubungannya Ramadhan dengan Tarbiyah Islamiyah kepada setiap individu Muslim/ah.

Bulan Ramadhan adalah sebuah madrasah (sekolah) tarbiyah yang intensif. Jika anda ingat, sewaktu di sekolah dulu, biasanya bagi pelajar-pelajar PMR dan SPM, mereka akan dikumpulkan sewaktu cuti selama seminggu atau lebih untuk diberi latih tubi yang intensif. Maka, dalam setahun, umat Islam dihimpunkan selama 30 hari untuk tujuan yang sama…

Ramadhan dan 10 Muwasofat Fardi Muslim

Imam Hassan Al Banna rahimahullah berdasarkan kefahaman beliau terhadap Al Quran dan Sunnah telah menggariskan 10 ciri-ciri yang perlu ada pada setiap individu Muslim. Dalam artikel ini, kita akan berbincang bagaimana Ramadhan menjadi catalyst (pemangkin) kepada tercapainya 10 ciri-ciri tersebut:

1. Salimul Akidah (Akidah Yang Sejahtera)

Dalam bulan Ramadhan, kita diwajibkan berpuasa selepas terbitnya matahari sehingga terbenamnya matahari. Berpuasa, ertinya menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa (makan, minum dll).

Berbanding ibadah-ibadah khusus yang lain seperti solat, zakat dll puasa mengambil masa yang lama untuk diselesaikan, iaitu lebih kurang 12 jam. Dalam masa setengah hari ini, umat Islam betul-betul diuji keyakinan dan keimanannya kepada Allah SWT. Bagaimana?

Hanya individu yang kuat dan teguh akidahnya sahaja mampu bertahan untuk tidak makan walau sebutir nasi atau minum seteguk airpun sewaktu berpuasa. Kita boleh saja makan sendirian di dalam rumah dan meneguk air sewaktu ke tandas,kemudian berpura-pura berpuasa semula di depan orang lain. Siapa yang akan nampak?

Tetapi, kita semua tahu bahawa Allah SWT nampak! Dia melihat apa saja yang kita kerjakan. Dia malah mengetahui apa yang terkandung di dalam hati sanubari kita. Jadi, dengan berpuasa, secara langsung Allah SWT ingin menguji kekuatan dan kesejahteraan akidah serta keyakinan kita kepada-Nya.

2. Shahihul Ibadah (Ibadah Yang Benar)

Tatkala kita mengisytiharkan Ramadhan sebagai Karnival Ibadah, maka sudah semestinyalah ibadah-ibadah yang akan dikerjakan sepanjang sebulan ini adalah shahih (BENAR) sepertimana yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Puasa, solat tarawih, tilawah quran, iktikaf, zakat, sedekah dan lain-lain merupakan antara ibadah-ibadah yang telah diteladankan oleh Baginda SAW kepada kita semua. Kita perlu berusaha agar kesemua ibadah-ibadah ini dilaksanakan dengan BENAR, tanpa dicampuri dengan tambahan-tambahan perkara yang tidak diajarkan Allah dan Rasul-Nya (bid’ah).

Antara isu hangat yang diperdebatkan adalah berkenaan bilangan rakaat dalam solat tarawih, samada 8 atau 20? Saya tidak bermaksud untuk membincangkan permasalahan ini di sini, anda boleh rujuk mana-mana pandangan ulama yang muktabar dan penjelasan daripada ustaz ustazah kita.

Apapun, marilah kita kembali kepada TUJUAN asal disyariatkan ibadah itu sendiri iaitu tidak lain tidak bukan untuk taqarrub kepada Allah SWT. Untuk menghantarkan diri, jiwa dan raga kita kepada perhambaan dan kedekatan kepada-Nya semata-mata.

3. Matinul Khuluq (Akhlak Yang Mulia)

Dalam bulan Ramadhan ini, manusia tiba-tiba naik tarafnya seperti MALAIKAT. Orang-orang yang agak KURANG BAIK perangainya dalam bulan lain, biasanya akan berubah menjadi lebih baik. Mungkin antara faktor utamanya adalah kerana para pengacau utama jiwa manusia, iaitu syaitan dan iblis telah dirantai dan dibelenggu!

Orang yang berpuasa, turut dituntut menjaga akhlaknya agar ibadah tersebut lebih sempurna. Tidak bercakap dengan perkataan-perkataan kotor, tidak mencela dan mengeji orang, menjaga pandangan, tidak mendengar nyanyian yang melalaikan dan lain-lain.

Dengan mempraktikkan kesemua amalan-amalan di atas selama sebulan penuh, apakah tidak akan menjadi kebiasaan pada bulan-bulan yang lain? Momentum ini insyaallah akan berterusan dan berkelanjutan setelah habis Ramadhan. Maka beruntunglah mereka-mereka yang benar-benar berPUASA dan menyucikan suluknya.

”Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa, dan sesungguhnya rugilah orang-orang yang mengotorinya.” (Asy Syams:9-10)

4. Qadirun ’ala Kasbi (Berdikari)

Seorang Muslim itu mestilah berdiri di atas kakinya sendiri! Dia perlu ada sumber kewangan yang diusahakannya sendiri. Perkara ini sangat penting kerana dakwah memerlukan bantuan-bantuan material yang cukup untuk digerakkan (di samping usaha para da’i dan kudrat Allah SWT)!

Bukankah Abu Bakar menginfaqkan seluruh harta bendanya untuk Islam? Bukankan Uthman RA membeli perigi Mau’nah daripada Yahudi Madinah, lalu diinfaqkan untuk umat Islam? Bukankah di awal-awal dakwah Rasulullah SAW, isterinya Khadijah RA memberi seluruh harta benda hasil perniagaannya kepada dakwah?

Jadi, apa hubungannya dengan bulan Ramadhan? Baiklah, ada ibadah yang dilakukan semata-mata tubuh badan dan hati, dan ada pula ibadah yang memerlukan persiapan ekonomi! Zakat merupakan salah satu daripadanya.

Dalam bulan Ramadhan, kita diwajibkan mengeluarkan zakat fitrah. Walaupun nilai yang telah ditetapkan tidak banyak, namun hikmahnya teramat besar! Dalam bulan ini juga, kita memerlukan wang untuk bersedekah, membuat jamuan berbuka puasa, infaq dan lain-lain.

bersambung...

Baytul Fareed
Selesai pada 00:15 am

0 comments: