Thursday, July 31, 2008

Tadabbur Jap...

Firman Allah swt;

“Sesunguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal (iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata),“Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau,maka peliharalah kami dari api neraka.” ( Ali Imran 3:190-191)

Sesungguhnya, alam buana ini dipenuhi ciptaan yang indah dan sungguh mengkagumkan. Bumi tempat diamnya kita ini, penuh dengan aneka keajaiban. Langit membiru, dihiasi awanan keputihan laksana kapas-kapas yang bergumpal. Langit dan bumi disusun berlapis-lapis antara satu sama lain, sangat tertib menggambarkan betapa Maha Hebat Penciptanya.

Silih bergantinya malam dan siang, pertukaran musim, panas sejuk, hujan kemarau, bulan bintang, peredaran planet benar-benar membuatkan manusia terasa kerdil memikirnya. Manusia ibarat seekor semut kecil yang lemas di tengah lautan luas. Sang semut kecil tiada daya dan tenaga yang dapat melawan ngauman ombak dan arus yang mengganas. Di kala itu, sang semut rela tidak rela terpaksalah menyerahkan dirinya pada laut untuk dibawa kemana sahaja.

Allah swt sebagai Pencipta semua ini tentu sekali Maha Mengetahui akan apa yang sebaiknya bagi makhluk-makhlukNya. Dia tentu sekali tidak akan membiarkan sesaatpun alam ini tanpa diperhatikanNya. Bukan itu sahaja, rahmah dan barakahNya meliputi seluruh alam tanpa sedikitpun diminta balasan atau bayaran.

Salah satu cara untuk kita mengenal dan mendekatkan diri kepada Allah adalah dengan sentiasa mengingati Allah dalam semua keadaan sambil merenung serta memikirkan ciptaanNya. Orang-orang yang sentiasa memikirkan penciptaan alam ini akan terpesona akan susunan tadbirnya yang luar biasa. Mereka akan tertunduk dan sujud syukur di hadapan Sang Pencipta, dan terasa kekurangan diri yang teramat sangat.

Dalam ad Din ini, telah ditetapkan beberapa perkara asas yang perlu difahami dan dihayati oleh seluruh penganutnya. Sesungguhnya kefahaman yang sahih dan mendalam sahaja yang akan menghantarkan seorang insan kepada iman kepada Allah swt.

Untuk memudahkan pemahaman dan pengamalan ad Din al Islam, Allah menurunkan Al Quran yang di dalam disertakan perumpamaan-perumpamaan dan kisah-kisah yang aplikatif. Perumpamaan tersebut berkaitan perkara-perkara yang biasa didengar dan dilihat oleh manusia agar mereka dapat menerimanya. Begitu juga utusanNya, Muhammad saw dilengkapi kemampuan mendidik dan membina umat ini dengan misalan-misalan hasil wahyu Allah swt.

Mengapa Perumpamaan?

Firman Allah swt;

“Sesungguhnya Allah tiada segan membuat perumpamaan berupa nyamuk atau yang lebih rendah dari itu. Adapun orang-orang yang beriman, Maka mereka yakin bahawa perumpamaan itu benar dari Tuhan mereka, tetapi mereka yang kafir mengatakan: "Apakah maksud Allah menjadikan ini sebagai perumpamaan?." dengan perumpamaan itu banyak orang yang disesatkan Allah, dan dengan perumpamaan itu (pula) banyak orang yang diberi-Nya petunjuk. dan tidak ada yang disesatkan Allah kecuali orang-orang yang fasik.” (Al Baqarah 2:26)

Untuk memudahkan kefahaman manusia terhadap sesuatu perkara, suatu media atau alat diperlukan. Suatu alat diperlukan untuk membantu manusia agar dapat memecahkan persoalan-persoalan sulit yang perlu difahaminya serta diingatinya. Jadi, Allah menceritakan persoalan-persoalan besar dalam agama ini dalam bentuk perumpamaan atau anologi yang sememangnya begitu mudah difahami.

Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buat untuk manusia; dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.” (Al Ankabut 29:43)

Oleh demikian, kenapa tidak kita bersama-sama menambahkan ilmu dan kefahaman kita?

Baytul Fareed

Selesai pada 5:16 pm

Islam yang Trendy!

Jika dengar perkataan Islam, Muslim, Al Quran, Masjid ataupun perkataan-perkataan lain yang ada kaitan dengan agama ni, apakah yang terlintas kat kepala anda?

Islam. Maaf nak cakap, sure ternampak buku-buku Pendidikan Islam, Syariah, Quran Sunnah dll. Isinya pulak rata-rata pasal halal haram, nikah cerai, rukun islam dan iman dll, kan?

Muslim. Mungkin terbayang sorang lelaki yang berjubah putih, berjanggut panjang, berserban dan bertasbih di tangan, duduk kat masjid.

Al Quran. Automatically, tergambar kat fikiran rak-rak tinggi kat rumah ataupun bilik. Dalam tu tersemadilah mushaf-mushaf yang tersusun rapi, masih baru dan mungkin suci murni menunjukkan ’selalu’nya dibaca.

Masjid. Tempat orang-orang tua yang dah pencen, yang dah nak mati menghabiskan sisa-sisa hidup beribadat kepada Tuhan.

Kalau macam tu lah yang dinamakan Islam, so, apa yang trendy sangat tu? Bukan ke trendy tu sesuatu yang terkini, sensasi, pupular dan diminati? Kalau yang imported dari luar negara, ramai orang2 terkenal yang buat, lagilah trendy, ye tak?

Ok, kalau camtulah yang korang namakan trendy, jom kita tengok fakta-fakta kat bawah nih.Tengoklah sendiri betapa agama yang malu-malu kita nak mengaku ni jadi satu trend kat luar negara!

Tahukah Anda?

v 20 tahun kebelakangan ini jumlah bilangan penganut Islam meningkat steadily, statistik 1973; umat Islam = 500 juta; dan kini (hingga 2003) = mencecah 1.5 bilion.

v Hingga 2003, setiap empat orang di muka bumi ini, seorang adalah Muslim

v Sebuah program terbitan CNN, ”Fast-growing Islam Wining Converts in Western World” mengiktiraf Islam sebagai “World’s Fastest Growing Religion”.

Islam di Amerika Syarikat (selepas tragedi 11 September 2001);

v Dengan 7 juta penganut menjadikan Islam agama ketiga terbesar di Amerika selepas Kristian dan Yahudi.

v Cristianity Today dalam artikel bertajuk, ”Are Christians Prepared for Muslims in the Mainstream” menjangkakan pada 2015, Islam akan menjadi agama kedua terbesar mengatasi Yahudi.

v Di Amerika sehingga 2003 terdapat 1209 buah masjid, 30% daripadanya dibina selepas 11 September.

v Pada 1994; 500 000 Muslim Amerika pergi ke masjid, dan pada 2000; 2 juta Muslim Amerika ke masjid (peningkatan kira2 300%)

v Selepas peristiwa 11 September 2001, Middle East Media Research Institute melaporkan seramai 34 000 warga Amerika memeluk Islam.

v The Los Angeles Time dalam artikel bertajuk ”Expression of Support Suprising to Muslims” melaporkan (terjemahan);

“Ramai warga Amerika juga menyelidik (Islam), sebahagiannya pertama kali, salah satu agama yang agung dan tamadun yang lama ini.Kedai-kedai buku kehabisan stok naskhah Al Quran, kelas-kelas di universiti yang mengajar tentang Timur Tengah dan Islam dipenuhi, ulama-ulama dari Timur Tengah dijemput ke rancangan-rancangan tv dan dikenali di jalanan…”

v Warga Amerika berminat dengan Al Quran seperti minat mereka kepada Penguin Books (penerbit buku terkemuka di Amerika), sebuah syarikat penerbit Al Quran menerbitkan extra 20 000 naskhah Al Quran selepas 11/9.

v USA Today melaporkan, “People want to know, so Koran is Bestseller” dan penjualan Al Quran meningkat sebanyak lima kali ganda.

v Pada Pembukaan Kongres 2001, pertama kali dalam sejarah dimulai dengan bacaan Al Quran setelah tahun2 sebelumnya dimulai dengan bacaan Bible.

Eropah dan Islam

v Terdapat kira-kira 13 juta umat Islam di Eropah Barat dan Islam merupakan agama kedua terbesar selepas Kristian.

v 3.9 juta di Jerman, 3.3 juta di Britain, 7.5 juta di Perancis dan selebihnya di lain-lain negara.

v Para pengkaji Barat menjangkakan Eropah bakal menjadi pusat penyebaran maklumat Islam terpenting 50 tahun akan datang.

v Sejak 20 tahun kebelakangan ini seramai lebih kurang 20 000 saudara baru di England

v The Daily Telegraph menggambarkan rata-rata saudara baru di England terdiri daripada golongan berstatus dalam masyarakat, mereka memeluk Islam selepas pengkajian dan pembacaan, contohnya Joe Ahmad Dobson, anak bekas Menteri Kesihatan, dan anak bekas Pengarah Besar BBC, John Birt.

v Di Denmark, selepas Kristian Protestent yang menjadi agama rasmi, adalah Islam dengan populasi melebihi Kristian Katholik.

v Media Denmark melaporkan peningkatan populasi Muslim ini sebagai,”The Future of Denmark: Every Second Person is a Muslim”.

v Terdapat lebih 300 000 umat Islam di Sweeden, kerajaan telah memperuntukkan dana khas untuk usaha menterjemahkan Al Quran ke dalam Bahasa Sweeden, membina masjid, dan membantu sekolah-sekolah yang menyediakan Pendidikan Islam.

v Majalah terkenal Jerman, Der Spiegel mengeluarkan keluaran khas tentang Islam dan Nabi Muhammad sebanyak 20 mukasurat. Isinya menafikan hubungan Islam dengan terorisme dan keganasan.

v Terdapat sejuta orang Muslim di Itali, dan 5000 adalah saudara baru

v Mario Scialoja dan Torquato Cardilli adalah dua orang Duta Itali yang memeluk Islam setelah bertugas di Arab Saudi.

Macamana? Apa perasaan anda? Ada perubahan? Ada lagi ke rasa malu nak mengaku sebagai orang Islam?

Kat atas ni sengaja ditonjolkan fakta-fakta kat Amerika dan Eropah, bukannya kat Arab atau negara-negara Islam yang lain. Sebabnya, dua tempat ni lah biasanya orang kita suka tiru trend mereka bukan?

Kalaulah direnungkan fakta-fakta kat atas, manusia sekarang ni dah berbondong-bondong kembali kepada Tuhan dan agama. Manusia dah boring dengan penindasan sistem ekonomi kapitalis, sistem sosialis yang zalim, dan sistem-sistem buatan manusia lainnya.

Trend sekarang bukan bukan lagi trend keluar agama, jadi atheis. Itu trend ketinggalan zaman. Sekarang zaman millineum, bukan zaman Komunis dan Sosialis (idelogi Karl Marx yang runtuh pada 1980-an) ataupun angan-angan Hippies (tiada negara, tiada agama, hiburan, seks dan dadah) tahun 60-70-an.

Kalau nak ibaratkan, agama Islam ni macam air bah. Kalau sekat kat sini, air bah tu tetap akan mengalir kat tempat lain. Kalau kat negara umat Islam sendiri, Islam tak nak diamalkan, Allah akan gantikan dengan umat-umat dari negara lain yang lebih baik.

Buktinya, tatkala umat Islam kat Malaysia ni membanjiri konsert-konsert dan pusat hiburan, kelas-kelas anjuran Persatuan Islam di universiti Harvard dan lain-lain kat Amerika dan Eropah dibanjiri oleh perindu-perindu kebenaran.

Tatkala remaja Islam sanggup menghabiskan duit ringgit membeli majalah hiburan dan komik, di Barat pula Al Quran menjadi Bestseller, dibaca terjemahannya, dikaji, serta dibincangkan.

Saat media massa Malaysia berebut-rebut siaran menyiarkan realiti tv hiburan, saluran terkenal barat menerbitkan dokumentari berbelanja besar seperti Islam: Empire of Faith dan Inside Mecca (National Geographic), shows tentang Islam serta siaran langsung solat Jumaat seperti di Itali.

Pada masa anak-anak gadis kita sanggup mendedahkan tubuh badan untuk tontonan umum (U), muslimah di Perancis sanggup turun ke jalan-jalan berdemonstrasi membantah pengharaman hijab ke atas pelajar-pelajar sekolah demi mempertahankan kesucian maruah.

”Hai orang-orang yang beriman, barang siapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (Al Maidah 5:54)

Lepas ni bila sebut je;

Islam. The World’s Fastest Growing Religion. Agama yang hanya mengambil masa 2 tahun untuk dianuti oleh 34 000 warga Amerika (purata 57 orang memeluk Islam setiap hari). Agama yang paling banyak dikaji, diselidik, difahami dan dibincangkan masa kini.

Muslim. 1.5 bilion manusia berbagai keturunan, warna kulit, berbeza status sosial, pekerjaan, dari buruh, kerani, pekebun, jurutera, guru, doktor pakar dan siapa saja berdiri berdampingan dalam satu barisan, di belakang seorang imam, ruku’ dan sujud kepada Tuhan Yang Satu.

Al Quran. Kitab suci yang menjadi bestseller di Amerika. Kitab suci yang paling banyak dibaca umat manusia sepanjang sejarah (menurut Charles Francis Potter), lebih dimuliakan berbanding kitab suci yang lain (Father J.Shillidy dalam The Lord Jesus in the Koran) dan tiada buku atau kitab yang dihafaz dan dibaca setiap saat oleh jutaan manusia sepertinya.

Masjid. Tempat mengalunkan azan, seruan keagamaan yang tidak pernah berhenti dikumandangkan di segenap pelusuk dunia, setiap saat, dan setiap kali itu juga lebih 1 bilion manusia menyambut seruannya. Rumah ibadat yang paling ramai dikunjungi setiap hari berbanding gereja, kuil dan sinagog.

Maha suci Allah yang berfirman dalam Al Quran;

”Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan, Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai, Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.” (An Nasr 110:1-3)

Baytul Fareed

Selesai tatkala azan Asar dari Masjid Zakaria dikumandangkan

Hakikat Diri Sendiri


Tiga Pertanyaan

Dalam sebuah bukunya, Hamka menulis satu kisah tentang seorang mahasiswa di Toronto yang lulus dengan cermerlang. Ketika konvokesyen, di hadapan para hadirin ijazah yang diterimanya terus dikoyak seraya berkata, “Mengapa saya koyak ijazah ini? Kerana saya malu.Ya, saya mampu menjawab segala soalan dari para penguji dengan mudah sehingga mendapatkan hasil yang memuaskan. Tetapi saya sangat malu kerana tidak mampu menjawab pertanyaan dari lubuk hati saya, padahal cuma tiga pertanyaan;

Pertama, saya ini berasal dari mana?

Kedua, saya ini akan menuju ke mana?

Ketiga, saya ini harus bagaimana?

Tiga pertanyaan inilah yang hingga saat ini belum mampu saya jawab!”

Mengasah Fitrah Keimanan

Dalam prosses penciptaan manusia, ketika di alam roh, saat dikeluarkan dari tulang sulbi, Allah SWT telah mengambil kesaksian iman kita. Dan semua manusia bersedia menerima kontrak penjanjian agung itu sepertimana yang termaktub dalam firman-Nya;

“Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): "Bukankah Aku ini Tuhanmu?" Mereka menjawab: "Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi". (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: "Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)" (Al A’raf 7:172)

Oleh yang demikian, setiap manusia yang lahir di dunia ini tidak mungkin dapat mengelak atau menolak terhadap isi perjanjian ini. Ini bererti setiap manusia pada hakikat fitrahnya adalah beriman kepada Allah SWT.

Potensi Buat Bekalan Hidup

Setelah dibangkitkan ke dunia, sesuai sebagai makhluk yang diciptakan dengan sebaik-baik kejadian manusia dibekali dengan potensi-potensi yang hebat.

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.” (At Tin 95:4 )

Pertamanya, Allah SWT mengurniakan kita hati yang menerbitkan keazaman dan kemahuan diri. Dengan hati manusia menemui kepuasan diri apabila dia dapat melakukan apa yang diyakininya benar dan tepat. Ini kerana hati ibarat raja yang memerintah dan mengawalselia aktiviti seluruh jasadnya.

“...ketahuilah bahawa di dalam jasad terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasad itu, dan jika ia rosak maka rosaklah pula seluruh jasad. Katahuilah, bahawa itulah hati.” (HR Bukhari dan Muslim)

Dan juga dengan hati ini manusia diberi kebebasan untuk memilih.

“...Dan katakanlah: "Kebenaran itu datangnya dari Tuhanmu; maka barangsiapa yang ingin (beriman) hendaklah ia beriman, dan barang siapa yang ingin (kafir) biarlah ia kafir". (Al Kahfi 18:29)

Yang kedua adalah akal fikiran. Dengan akal fikiran, manusia mampu memikirkan Keagungan dan Kebesaran ciptaan Allah SWT. Manusia boleh menuntut ilmu pengetahuan dan menggunakannya dalam kehidupan seharian dan memakmurkan alam ini.

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.” (Ali Imran 3:190-191)

Potensi ketiga adalah jasad yang serba lengkap dan sempurna kejadiannya. Manusia dilengkapi tangan, kaki, panca indera dan sebagainya, tidak lain tidak bukan adalah bagi memudahkannya dalam kehidupan seperti mencari rezeki dan untuk bekerja.

“Dia-lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya).” (Al Mulk 67:15)

”Dan katakanlah: "Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang gaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan". (At Taubah 9:105)

Misi yang Menanti

Sesungguhnya Allah SWT tidak menciptakan manusia tanpa tujuan yang jelas. Dengan segala kelebihan dan potensi yang ada, manusia sebenarnya diutus ke muka bumi dengan membawa misi yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Menurut Al Quran terdapat dua misi utama manusia diciptakan;

1) Ibadah:

”Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka beribadah kepada-Ku.” (Al Dzariyat 51:56)

Untuk menunjukkan syukur di atas segala kurniaan dan nikmat yang diberikan, sudah semestinyalah manusia menyembah dan beribadah kepada Allah seperti yang telah diperintahkan-Nya.

Di samping itu, menjalani ibadah yang diamanahkan dapat membuat kita mendapat kedudukan mulia di sisi-Nya. Dengan ibadah kita menjadi kuat dan dapat mengakkan keadilan dan kedamaian dunia ini.

Allah Azza wa Jalla berfirman dalam sebuah hadis qudsi;

”Wahai anak Adam, luangkanlah waktu untuk beribadah kepada-Ku, Aku akan memenuhi hatimu dengan kekayaan dan Aku akan menutup kemelaratanmu. Dan apabila kamu tidak melakukannya maka Aku akan mengisi hatimu dengan kesibukan dan Aku tidak akan menutupi kemelaratanmu.” (HR Imam Ahmad)

2) Khalifah:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat, "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi…" (Al Baqarah 2:30)

Tugas utama khalifah adalah memastikan bumi ini keseluruhan penduduknya beribadah kepada Allah SWT (support tugas yang pertama). Sebagai khalifah, manusia perlu berusaha memakmur dan mentadbir alam ini seperti mana yang dikehendaki oleh Pencipta-nya.

Jika terdapat manusia yang enggan beribadah kepada Allah SWT yakni kufur, manusia sebagai khalifah mestilah menjalankan usaha untuk menyebarkan agama Allah dan menyedarkan mereka kewajipan beribadah secara berhikmah dan peringatan yang baik. Dan usaha menyedarkan manusia untuk kembali beribadah kepada Allah SWT dan mentadbir alam dengan peraturan-Nya inilah dinamakan Dakwah.

Realiti Hari Ini

Hari ini, umat Islam rata-ratanya mungkin masih ingat akan tugas pertama iaitu beribadah, walaupun kefahaman mereka tentang ibadah masih lagi sempit kerana terbatas dengan solat, puasa, zakat dan haji semata-mata.

Tetapi, tugas berdakwah dan mengajak manusia agar kembali menjadikan Allah sebagai satu-satunya Zat Yang Disembah dan layak ditaati menjadi kurang popular. Sedangkan kedua-dua misi tersebut dengan jelas diperintahkan dalam kitab suci Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

"Dan hendaklah ada di antara kalian segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegab dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung." (Ali Imran 4: 104)

“Barangsiapa di kalangan kamu melihat suatu kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah dia mengubahnya dengan lidahnya. Sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah dia mengubahnya dengan hatinya. Yang sedemikian itu adalah selemah-lemah iman.” (HR Muslim)

Kita melihatkan masyarakat hari ini hanya memandang rakan mereka melakukan kemaksiatan atau meninggalkan solat tanpa ada usaha menegur apatah lagi menghalang. Masyarakat yang begitu amat membimbangkan akan mendapat kemurkaan Allah Taala dan kemusnahan sebagaimana telah dialami umat terdahulu.

“Belumkah datang kepada mereka berita penting tentang orang-orang yang sebelum mereka, (iaitu) kaum Nuh, 'Ad, Tsamud, kaum Ibrahim, penduduk Madyan, dan (penduduk) negeri-negeri yang telah musnah? Telah datang kepada mereka rasul-rasul dengan membawa keterangan yang nyata; maka Allah tidaklah sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.” (At Taubah 9: 70)

Oleh itu, demi menjadi umat yang dijauhi dari kemurkaan Allah dan dijanjikan keselamatan dari azab-Nya sudah sepatutnya kita menjadi orang-orang yang mempelopori gerakan dakwah. Kita berdakwah dan beramar makruf nahi munkar supaya kita dianugerahkan pangkat tertinggi iaitu khairu ummah, umat yang terbaik.

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah...” (Ali Imran 3:110)


Baytul Fareed

3:59 pm

Mencari Makna Kehidupan Abadi



Testing...testing....
Ujian Pembesar Suara...

"Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya dengan ini merasmikan pembukaan laman blog ibnu-ahmadiy.blogspot.com!"

Alhamdulillah, syukur pada Allah SWT, setelah sehari suntuk bertungkus-lumus menyiapkan templete, akhirnya berjaya juga blog ini dilancarkan. Maklumlah budak baru belajar katakan, itu pun berkat 'bimbingan' dan 'kritikan' membina oleh teman-teman serumah.

Baiklah, kembali kepada tajuk asal. Kenapa saya menceburkan diri dalam bidang blog-memblog ini? Setiap orang mungkin mempunyai pendapat dan tujuan masing-masing mem'blog' ni. Ada yang bertindak sebagai diari online yang dapat berkongsi aktiviti hariannya, ada yang menceritakan pendapatnya tentang sesuatu isu dan malah ada blog yang dijadi promosi diri sendiri.Jadi, bagaimana pula dengan saya?

Kelmarin (Selasa), selepas MABIT (Qiamullail) di Surau Mahallah Zubair, salah seorang sahabat telah memberi tazkirah tentang kisah 3 orang yang akan dihadapkan di depan Allah SWT di akhirat kelak. Pertama (tak pasti urutannya), seorang ahli ibadah yang sepanjang hidupnya beribadah kepada Allah. Kedua, seorang hartawan yang telah menyedekahkan seluruh hartanya untuk jalan Allah, dan ketiga seorang pejuang yang berjihad fi sabilillah serta akhirnya terkorban.

Apa yang terjadi? Ketiga-tiganya ditolak amalan mereka oleh Allah SWT kerana segala perbuatan mereka tersebut didasari dengan tujuan yang selain dari keredhaan-Nya. Ada yang ingin dikenal sebagai kuat beribadah, ada yang hendakkan julukan dermawan dan ada yang mahu dikenang keberaniannya dan kehebatannya menggempur musuh. (Riwayat Abu Hurairah)

Jadi, difikir-fikir semula memang bagaimanalah nasib saya di akhirat kelak? Kalau nak dibandingkan dengan ketiga-tiga orang di atas, mungkin jauh panggang dari apilah saya dari segi ibadah (solat malam, quran, puasa dll), sedekah dan berjihad.

Tapi, saya teringat dalam satu hadith, Rasulullah SAW bersabda yang membawa maksud lebih kurang bahawa manusia masuk syurga bukanlah kerana amalan mereka semata-mata melainkan kerana rahmat dan kurnia Allah SWT.Ini memang betul kerana kalau nak diharapkan ibadah kita di dunia semata-mata, tidak dapat dibandingkan dengan nikmat dan kurniaan-Nya kepada kita. Malah kadang-kadang jika Allah mengkehendaki, tidak mustahil memberi minum kepada anjing yang kelaparan pun menjadi sebab dianugerahkan syurga.

Bagitulah kita masing-masing tidak dapat memastikan, dalam banyak-banyak amalan kita yang manakah diterima oleh Allah. Dalam keadaan kita yang masih sedikit beramal ini, ditambah banyak berbuat dosa pula entah bagaimana nasib di depan Allah nanti. Oleh yang demikian, janganlah meremehkan amalan-amalan yang dianggap kecil kerana mungkin itulah yang menjadi sebab kita termasuk ahli-ahli syurga-Nya.

Kesimpulannya, saya tidak pasti bahawa menulis blog ini menjadi sebab saya masuk syurga nanti. Tapi, siapa tahu?
"... Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selama aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakkal dan hanya kepada-Nyalah aku kembali". (Huud: 88)

Wallahu a'lam...

Selesai pada 7.55 am
Baytul Fareed