Wednesday, January 14, 2009

Penukaran Blog!

Assalamualaikum...

Dengan ini dimaklumkan kepada semua bahawa saya akan bertukar blog yang baru di atas sebab-sebab teknikal.

Blog ini tidak lagi akan di'update'.

Jadi, anda semua dijemput untuk melayarinya...

Alamat blog baru tersebut adalah seperti di bawah;

www.karya-jiwaku.blogspot.com

Terima Kasih
Jumpa di sana...3x

Saturday, November 22, 2008

Kembali!!!

Assalamualaikum....

Berjumpa kembali ye...Setelah 2 bulan tak update. He he...Kat Baytul Fareed ni streamyx masalah. Dah 2 bulan tak dapat connection. Nak pergi CC malas la pulak. Terasa mahal 1 jam RM2 tu. Oklah, ni pun kat Darul Puteri, Cheras. Ada wireless ni, boleh la update blog ni.

Topik nak bincang pun takde, tapi boleh la tengok gambar-gambar yang diupload ni...Program Youth Outdoor Quest 1429 H...


Ni gambar dari dekat. Kami di atas Bukit Tabur. Lebih kurang 3 jam naik dan turun.


Ni gambar dari jauh. Sayup-sayup rasanya. Macam tak percaya boleh naik...

Terpegun dengan keindahan dan kedamaian alam...Subhanallah!

p/s:- Nantikan 'ibrah (pengajaran) yang saya dapat daripada pendakian ini...Insyaallah.


Selesai pada 11:38 pagi
Darul Puteri, Cheras

Friday, September 12, 2008

Mari Berkenalan dengan MALWARE!

Pengalaman berusan dengan Encik Adware.Agent.BN baru-baru ini telah memberi pengalaman berharga kepada saya dalam mengenali ancaman-ancaman terhadap komputer di dunia maya (internet). Sebenarnya, dalam banyak-banyak kebaikan yang ada dalam penggunaan internet, tanpa kita sedari terdapat banyak ancaman luar yang sangat berbahaya.

Jadi, dalam posting kali ini, saya akan cuba membawa anda berkenalan dengan mereka...

Malware (malicious software - perisian perosak) merupakan istilah yang digunakan untuk merujuk sebarang perisian yang mampu mendatangkan kesan buruk terhadap komputer tanpa disedari pemiliknya, atau paling kurang boleh mengganggu privacy anda.

Di bawah disenaraikan antara AHLI-AHLI dalam persekutuan ini:-

1. Adware:
Perisian tersembunyi yang didatangkan bersama-sama Program yang anda muat turun daripada internet. Umumnya program tersebut mengkehendakkan anda menerima iklan daripadanya.

2. Browser Helper Object (BHO):
BHO merupakan pengintip yang menyamar sebagai link toolbar di browser anda. Tugasnya adalah untuk memata-matai kegiatan internet anda di samping browser anda (Mozilla Firefox/Internet Explorer) akan ditambah toolbar baru.

3. Browser Hijackers:
Menyeludup masuk ke dalam browser anda dan meng'link'kan website tertentu. Walaupun anda telah menaip nama website yang anda kehendaki, namun ia tetap akan memaksa anda ke website yang diarahkannya.

4. Dialers:
Memasukkan fungsi automatik ke dalam sambungan internet, malah secara diam-diam mampu aktif sendiri. Kesannya, tiba-tiba bil telefon anda melambaung tinggi!

5. Homepage Hijacking:
Ini adalah yang paling banyak dihasilkan oleh pembuat malware. Ia akan mengantikan alamat homepage pada default browser dan anda tidak dapat menukar kembali walau setelah anda reset.

6. Keylogger:
Program yang masuk dan mencatatkan semua yang anda taip. Kemudian, mengahantar maklumat tersebut kepada pembuatnya.

7. Search Hijacker:
Ia berperanan sebagai search engin di browser. Apabila anda salah menulis alamat, ia akan memaparkan banyak pop-ups dan iklan-iklan yang tidak keruan.

8. Surveillance Software:
Salah satu program yang berbahaya. Kerana mencatat kegiatan pada sebuah computer termasuk data penting, password dan lainnya. Program ini sangat pintar , dan hanya mengirim data setelah anda selesai melakukan aktiviti.

9. Thiefware:
Berfungsi untuk mengarahkan pengunjung website dan mengarahkan ke website lain yang mereka kehendaki. Cara ini tidak illegal tetapi agak kasar!

10. Trojan Horse:
Adalah program dikategorikan sebagai virus. Fungsinya untuk mengawal (control) computer yang terjangkiti.

Begitulah secara umumnya beberapa info tentang malware. Di kesempatan yang lain insyaallah kita akan bercerita lebih terperinci tentang adware, spyware, trojans dan worms kerana mereka berada dalam kategori yang tersendiri.

Wallahu a'lam..
Baytul Fareed
Selesai pada 5:16 pm

Thursday, September 11, 2008

Ramadhan & 10 Muwasofat (bhgn kedua)

5. Muthaqqaful Fikri (Luas Pengetahuan)

Salah satu syiar utama sepanjang Ramadhan adalah memperbanyakkan tilawah Al Quran. Al Quran adalah sebuah kitab yang diturunkan kepada umat Islam yang objektifnya adalah supaya menjadi panduan dan rujukan kita di dalam setiap segi kehidupan.

Tilawah yang dimaksudkan tidak hanya sekadar membaca Al Quran, sebaliknya turut memperhatikan makna, makraj huruf, tajwid dan menyertakan kehadiran jiwa. Dengan menjaga kesemua perkara ini thaqafah (pengetahuan) kita nescaya akan bertambah dan banyak pedoman-pedoman baru yang akan Allah tunjukkan.

Dan dengan banyak membaca Al Quran, jiwa menjadi lebih tenang, dan ilmu kitapun bertambah. Bila ilmu bertambah, imanpun akan bertambah, insyaallah. Rasulullah SAW pernah bersabda;

”Barangsiapa bertambah ilmunya akan tetapi dia tidak bertambah imannya, maka dia tidak bertambah kepada Allah kecuali semakin jauh saja...” (HR Muslim)

6. Qawwiyul Jismi (Fizikal Yang Kuat)

Rasulullah SAW pernah bersabda, ”Shumu Tashihu!” yang bermaksud, ”Berpuasalah, maka kamu akan menjadi sihat!” Sesungguhnya, sabda Nabi memang sangat benar, dan banyak kajian yang dibuat telah membuktikan perkara ini.
Di antara kelebihan dan manfaat puasa kepada kesihatan kita (yang sempat saya cari) adalah;

1. menyegarkan fizikal dan mental
2. menghancurkan sisa-sisa racun dan toksin dalam darah
3. menyegarkan otot-otot dan membuatkan anda lebih bertenaga
4. menyeimbangkan peredaran darah
5. tatkala darah terlalu berasid, puasa akan mengalkalikannya semula (sel kanser tidak dapat hidup dalam persekitaran alkali)
6. turunkan darah tingggi
7. mencerahkan penglihatan mata

Cara berpuasa yang sihat adalah dengan bersahur ringan tanpa karbohidrat, iaitu dengan hanya makan buah-buahan, sayur dan minum air kosong. Tanpa karbohidrat yang berlebihan, tiada bekalan asid kepada sistem penghadaman dan darah. 7 biji buah tamar sudah sudah cukup kerana ia sangat kaya dengan zat nutrien dan antioksidan.

7. Mujahidun Linafsihi (Bermujahadah)

Ramadhan adalah bulan bermujahadah. Tatkala berpuasa, kita masih lagi meneruskan kerja-kerja kita seharian. Pelajar masih menghadiri kelas, orang dewasa masih pergi bekerja, dan ibu-ibu masih lagi mengurus rumah dan memasak. Dengan bermujahadah, puasa kita tidak langsung mengganggu prestasi dan kualiti kerja kita, malah memberi lebih produktiviti.

Sepanjang berpuasa, umat Islam diperintahkan meninggalkan perkara yang halal pada bulan yang lain. Makan, minum, bersetubuh dll adalah merupakan perkara-perkara yang dilarang. Tanpa bermujahadah, nescaya sangat susah untuk meninggalkan perkara-perkara ini!

Juga Ramadhan menjadi medan untuk kita berlatih meninggalkan perkara yang sia-sia. Pada bulan lain, mungkin kita banyak menonton tv, bermain games, melepak, berbual kosong, dan berjaga hingga lewat malam. Tapi, bila tibanya Ramadhan, secara automatik kita akan cuba sedaya upaya agar semua kebiasaan ini ditinggal terus atau dikurangkan.

”...dan orang-orang yang terhadap perkara sia-sia, dia menjauhinya...” (Al Mukminun:3)

Rasulullah SAW bersabda, "Di antara kebaikan Islamnya seseorang adalah meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat kepadanya.” (HR Muslim)

8. Munazhamu Fi Syuunihi (Teratur Urusannya)

Jika dalam bulan yang lain hidup kita penuh dengan urusan-urusan yang perlu diatur, maka bertambah-tambah lagilah pada bulan Ramadhan! Dengan perencanaan yang rapi, jadual yang baik, pelaksanaan yang terkawal dan evaluasi di akhirnya, insyaallah segala urusan yang berjalan lancar.

Kita perlu merancang bagaimana dapat menyelitkan tilawah Al Quran dan zikir di sela-sela kesibukan yang lain. Kita perlu merencanakan keluar masuk kewangan kita pada bulan ini, agar tidak ketinggalan berinfaq. Kita mesti mengawal masa yang ada agar tidak dihabiskan dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Pokoknya, semua urusan kita hendaklah diatur sebaiknya!

9. Harithun ’ala Waqtihi (Menjaga Masa)

Bulan Ramadhan ini penuh dengan waktu-waktu yang perlu dijaga dan dipatuhi. Kita ada waktu untuk bersahur, waktu untuk berbuka, waktu untuk solat tarawih, waktu untuk mengeluarkan zakat fitrah dan lain-lain.

Maka, Ramadhan itu mengajar kita agar berdisplin terhadap masa! Kita disunatkan melambatkan sahur, sunat menyegerakan berbuka, dan sunat bersolat tarawih pada malamnya.

Cuba kita bayangkan ketika waktu berbuka, kita menanti dengan penuh sabar detik-detik itu. Kita penuhi penantian dengan tilawah, zikir dan doa kepada Allah. Dan akhirnya tatkala tiba saatnya, kita begitu berDISIPLIN untuk berbuka.

Jadi, cuba kita bandingkan kehidupan seorang pemuda yang belum berkahwin misalnya. Dia menanti dengan penuh sabar saat yang belum tiba itu dengan bayak berpuasa dan berdoa kepada Allah SWT agar dipermudahkan segala urusannya. Malah, dia tidak terpengaruh dengan godaan hawa nafsu supaya ber’couple’atau berteman secara suka-suka...(apasal tiba-tiba cerita pasal kawin ni? He..he..)

10. Naafi’un Lighairihi (Bermanfaat Kepada Orang Lain)

Memang bulan Ramadhan ini adalah bulan yang mengajar kita agar bermanfaat kepada orang lain. Puasa itu sendiri adalah satu manifestasi keperihatinan kita terhadap rakan-rakan kita yang kurang bercukupan. Kita merasai sendiri bagaimana sengsaranya mereka menahan kelaparan.

Dengan perasaan tersebut, tangan kita menjadi ringan untuk membantu mengurangkan penderitaan golongan ini. Anak-anak yatim misalnya, adalah golongan yang perlu diberi bantuan samada kewangan, tempat tinggal dan pendidikan agar kelak mereka menjadi anak-anak yang hebat dunia dan akhiratnya.

Adat memberi juadah berpuasa juga amat baik diteruskan sesama jiran. Jika di waktu lain tidak berkesempatan, maka sekaranglah waktunya kita merapatkan ukhuwah dan silaturrahim sesama tetangga. Saudara kita merasai kuih muih kegemaran kita, manakala kita pula merasai masakan favourite mereka. Dengan ini, takruf menjadi lebih mendalam dan persaudaraan bertambah erat!

Baytul Fareed
Selesai pada 9:35 am

Ramadhan & 10 Muwasofat (bhgn pertama)


Apa khabar semua? Agak lama ya setelah posting terakhir tentang Agent BN. Untuk pengetahuan semua...

ALHAMDULILLAH! Segala puji dan puja bagi Allah SWT!

Akhirnya, berkat doa anda semua laptop saya telah BEBAS dari jajahan Agent BN! Untuk itu saya ucapkan jazakumullah khairan kathiran...

Perincian bagaimana perjalanan perseteruan saya dengan Sang Musuh, insyaallah akan saya ceriterakan dalam kesempatan yang lain, kerana ada beberapa tema yang sepatutnya saya sentuh seperti Edisi Khas Merdeka (31 Ogos) tidak dapat di post. Walaubagaimanapun, dengan izin Allah saya akan sentuh di masa yang lain.

Topik kita!

Baiklah, topik kita kali ini (seperti tertera di atas) merupakan satu refleksi kepada kita semua apakah hubungannya Ramadhan dengan Tarbiyah Islamiyah kepada setiap individu Muslim/ah.

Bulan Ramadhan adalah sebuah madrasah (sekolah) tarbiyah yang intensif. Jika anda ingat, sewaktu di sekolah dulu, biasanya bagi pelajar-pelajar PMR dan SPM, mereka akan dikumpulkan sewaktu cuti selama seminggu atau lebih untuk diberi latih tubi yang intensif. Maka, dalam setahun, umat Islam dihimpunkan selama 30 hari untuk tujuan yang sama…

Ramadhan dan 10 Muwasofat Fardi Muslim

Imam Hassan Al Banna rahimahullah berdasarkan kefahaman beliau terhadap Al Quran dan Sunnah telah menggariskan 10 ciri-ciri yang perlu ada pada setiap individu Muslim. Dalam artikel ini, kita akan berbincang bagaimana Ramadhan menjadi catalyst (pemangkin) kepada tercapainya 10 ciri-ciri tersebut:

1. Salimul Akidah (Akidah Yang Sejahtera)

Dalam bulan Ramadhan, kita diwajibkan berpuasa selepas terbitnya matahari sehingga terbenamnya matahari. Berpuasa, ertinya menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa (makan, minum dll).

Berbanding ibadah-ibadah khusus yang lain seperti solat, zakat dll puasa mengambil masa yang lama untuk diselesaikan, iaitu lebih kurang 12 jam. Dalam masa setengah hari ini, umat Islam betul-betul diuji keyakinan dan keimanannya kepada Allah SWT. Bagaimana?

Hanya individu yang kuat dan teguh akidahnya sahaja mampu bertahan untuk tidak makan walau sebutir nasi atau minum seteguk airpun sewaktu berpuasa. Kita boleh saja makan sendirian di dalam rumah dan meneguk air sewaktu ke tandas,kemudian berpura-pura berpuasa semula di depan orang lain. Siapa yang akan nampak?

Tetapi, kita semua tahu bahawa Allah SWT nampak! Dia melihat apa saja yang kita kerjakan. Dia malah mengetahui apa yang terkandung di dalam hati sanubari kita. Jadi, dengan berpuasa, secara langsung Allah SWT ingin menguji kekuatan dan kesejahteraan akidah serta keyakinan kita kepada-Nya.

2. Shahihul Ibadah (Ibadah Yang Benar)

Tatkala kita mengisytiharkan Ramadhan sebagai Karnival Ibadah, maka sudah semestinyalah ibadah-ibadah yang akan dikerjakan sepanjang sebulan ini adalah shahih (BENAR) sepertimana yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Puasa, solat tarawih, tilawah quran, iktikaf, zakat, sedekah dan lain-lain merupakan antara ibadah-ibadah yang telah diteladankan oleh Baginda SAW kepada kita semua. Kita perlu berusaha agar kesemua ibadah-ibadah ini dilaksanakan dengan BENAR, tanpa dicampuri dengan tambahan-tambahan perkara yang tidak diajarkan Allah dan Rasul-Nya (bid’ah).

Antara isu hangat yang diperdebatkan adalah berkenaan bilangan rakaat dalam solat tarawih, samada 8 atau 20? Saya tidak bermaksud untuk membincangkan permasalahan ini di sini, anda boleh rujuk mana-mana pandangan ulama yang muktabar dan penjelasan daripada ustaz ustazah kita.

Apapun, marilah kita kembali kepada TUJUAN asal disyariatkan ibadah itu sendiri iaitu tidak lain tidak bukan untuk taqarrub kepada Allah SWT. Untuk menghantarkan diri, jiwa dan raga kita kepada perhambaan dan kedekatan kepada-Nya semata-mata.

3. Matinul Khuluq (Akhlak Yang Mulia)

Dalam bulan Ramadhan ini, manusia tiba-tiba naik tarafnya seperti MALAIKAT. Orang-orang yang agak KURANG BAIK perangainya dalam bulan lain, biasanya akan berubah menjadi lebih baik. Mungkin antara faktor utamanya adalah kerana para pengacau utama jiwa manusia, iaitu syaitan dan iblis telah dirantai dan dibelenggu!

Orang yang berpuasa, turut dituntut menjaga akhlaknya agar ibadah tersebut lebih sempurna. Tidak bercakap dengan perkataan-perkataan kotor, tidak mencela dan mengeji orang, menjaga pandangan, tidak mendengar nyanyian yang melalaikan dan lain-lain.

Dengan mempraktikkan kesemua amalan-amalan di atas selama sebulan penuh, apakah tidak akan menjadi kebiasaan pada bulan-bulan yang lain? Momentum ini insyaallah akan berterusan dan berkelanjutan setelah habis Ramadhan. Maka beruntunglah mereka-mereka yang benar-benar berPUASA dan menyucikan suluknya.

”Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa, dan sesungguhnya rugilah orang-orang yang mengotorinya.” (Asy Syams:9-10)

4. Qadirun ’ala Kasbi (Berdikari)

Seorang Muslim itu mestilah berdiri di atas kakinya sendiri! Dia perlu ada sumber kewangan yang diusahakannya sendiri. Perkara ini sangat penting kerana dakwah memerlukan bantuan-bantuan material yang cukup untuk digerakkan (di samping usaha para da’i dan kudrat Allah SWT)!

Bukankah Abu Bakar menginfaqkan seluruh harta bendanya untuk Islam? Bukankan Uthman RA membeli perigi Mau’nah daripada Yahudi Madinah, lalu diinfaqkan untuk umat Islam? Bukankah di awal-awal dakwah Rasulullah SAW, isterinya Khadijah RA memberi seluruh harta benda hasil perniagaannya kepada dakwah?

Jadi, apa hubungannya dengan bulan Ramadhan? Baiklah, ada ibadah yang dilakukan semata-mata tubuh badan dan hati, dan ada pula ibadah yang memerlukan persiapan ekonomi! Zakat merupakan salah satu daripadanya.

Dalam bulan Ramadhan, kita diwajibkan mengeluarkan zakat fitrah. Walaupun nilai yang telah ditetapkan tidak banyak, namun hikmahnya teramat besar! Dalam bulan ini juga, kita memerlukan wang untuk bersedekah, membuat jamuan berbuka puasa, infaq dan lain-lain.

bersambung...

Baytul Fareed
Selesai pada 00:15 am

Friday, August 29, 2008

Agent BN!


Anda tentu hairan dengan tajuk entri saya kali ini. Tentu dalam benak anda tertanya-tanya adakah penulis blog ini sudah mengalihkan fokus blognya kepada blog politik?

BN = Barisan Nasional

Bukan! Sebenarnya saya ingin berkongsi pengalaman saya berJIHAD menentang pihak musuh yang sangat kuat. Mereka menyerang dari segenap sudut dan berbagai cara hinggakan saya terpaksa menggunakan segala muslihat dan tipudaya yang termampu.

Agent BN

Musuh yang saya maksudkan adalah Agent BN ataupun nama penuhnya Adware.Agent.BN. Musuh inilah yang telak cuba menakluk dan menguasai laptop Acer TravelMate 4150 saya. Ia jugalah yang telah menyebabkan saya tidak sempat mengUPDATE blog, malah agak 'tension' sejak kebelakangan ini.

Sebaiknya saya cerita sedikit bagaimana perkenalan dan susur galur permusuhan saya dengan Adware.Agent.BN ini.

Ceritanya bermula 2 minggu lepas, apabila saya memuat turun (download) satu 'software' menggunakan Utorrent. Setelah saya meng'install'nya, tiba-tiba antivirus laptop saya ketika itu (ESET NOD32) mengeluarkan amaran dan menghentikan beberapa serangan! Tapi, dalam keadaan kelam kabut itulah musuh ini menyeludup masuk ke dalam laptop saya...

Maka bermulalah episod gelap yang menimpa laptop Acer saya. Ini adalah serangan -serangan yang telah dilancarkan:

1. bertindak sebagai admin dan men'disable'kan Task Manager dan regedit (Registry Editor)
2. meng'hilang'kan Hard Disc (kedua-dua partition C dan D)
3. menghilangkan fungsi Control Panel, Program File, run dll di menu START
4. menghalang ekses kepada sebarang laman web antivirus yang 'power' (Kaspersky, Bitdefender, Avira dll)
5. menggunakan RAM laptop saya (yang sedia sikit itu) sehingga meLEMBABkan laptop saya ke tahap maksimum!
6. menyamar sebagai Windows dan mengeluarkan amaran palsu (contohnya Virus Alert!/Someone may use spyware to hijack your computer... dll)

Serangan balas!

1. Saya mengINSTALL antivirus baru, Avira (tapi yang FREE punya) - tidak berkesan
2. Spyware Doctor - berjaya mengesan lebih kurang '200 ekor' musuh dan mengesan Adware.Agent.BN (tapi tidak mampu membunuhnya)
3. RegistryFix (untuk perbaiki registry yang diubah) - tidak banyak membantu kerana musuh telah men'disable'kan regedit.
4. Kaspersky Internet Security - banyak membantu, tetapi tidak dapat update definition kerana bila connect server kaspersky je, terus connection terminated oleh Sang Musuh!
5. Ad-aware 2008 (trial version) - membantu, tetapi biasa la trial version katakan...
6. Format laptop! - malangnya CD-drive Acer TravelMate 4150 saya telah rosak kira-kira sebulan yang lalu...

Siapakah Agent BN?

Perisik-perisik saya telah dapat mengenalpasti profail musuh dan di bawah adalah maklumat tersebut:

Nama: Agent.BN
Nama penuh: Adware.Agent.BN
Pernah dikenali sebagai: Adware.Agent.NAL, AdWare.BHO.NXM, Backdoor.Win32.Delf.cak AdWar
Level: High
Negara Asal: Russia/Slovakia

Gerakerja:
1. adds a run key to the registry so it is run at startup (hidup setiap kali start komputer)
2. produces pop-up advertisements and modifies the Windows System configuration in order to enable the downloading of other malware on the computer (ubah konfigurasi Windows dan men'jemput' malware seperti adware, spyware, trojans, worms etc beramai-ramai memasuki komputer anda)
3. installs a downloader together with its main process that re-downloads the parasite once it is removed (malware yang di'remove' dapat hidup balik!)

Agent BN BAHAYA kerana;
1. can present itself as a toolbar (menyamar sebagai toolbar yang jika di'click' bawa kita ke website yang penuh dengan MUSUH)
2. logs your internet browsing history (check maklumat dan data-data yang anda masukkan dalam internet)
3. displays lots of annoying advertisements (paparkan iklan-iklan yang mengganggu)
4. may infect your system via spyware or freeware (menjangkiti sistem anda)
5. may repair its files, spread or update by itself (pandai mengubati 'kecederaan' dan bertambah kuat - ni dah macam cerita Dragonball je..)
6. may prove difficult or impossible to remove (terbukti hampir mustahil dibunuh)
7. violates your privacy and compromises your security (mengganggu kerahsiaan dan membahaya keselamatan anda - bila dia curi data & maklumat sulit, akaun bank dll anda )

Sesungguhnya saya masih lagi bertungkus-lumus melawan agen tersebut. Insyaalah hingga ke titisan peluh yang terakhir...Saya telah berjumpa beberapa cara untuk mengatasi masalah ini, dan hasilnya insyaallah saya akan update di blog ini. Kepada semua pembaca, mohon doakan saya ye...

Wassalam..
Baytul Fareed
1:14 pm

Thursday, August 21, 2008

Hari Ini Dalam Sejarah! (Edisi Khas ROQ '08)

Hari ini genap 39 tahun berlakunya peristiwa tersebut. Suatu peristiwa yang mencabar hati nurani Umat Islam sedunia. Peristiwa yang menyaksikan akidah dan keimanan mereka diperlakukan dengan begitu rendah. Ya, peristiwa itu berlaku pada 21 Ogos 1969!

Apa yang terjadi?

Hari itu seorang lelaki berbangsa Australia, Dennis Michael telah membakar Masjid Al Aqsa! Api marak telah membakar tembok dan mimbar Shalahuddin. Api menyala dengan dahsyatnya sehingga seolah-olah Masjid yang menjadi kiblat pertama umat Islam itu tidak akan wujud lagi.

Pihak bomba tidak pula hadir untuk menghulurkan bantuan. Umat Islam Palestin, masyarakat yang diberkahi dan diamanahkan untuk berada di sekitar kawasan suci itu berusaha sekuat tenaga untuk memadamkan api. Tidak kira lelaki dan wanita, tua muda semuanya turut membantu.

Akhirnya, Allah SWT masih lagi menginginkan Masjid Al Aqsa terus bertapak di buminya. Dia telah melindungi dan menyelamatkan Masjid Al Aqsa. Akhirnya, api dapat dipadamkan.

Pengadilan Palsu

Setelah itu, orang-orang yahudi berpura-pura mengadili Dennis Michael. Micheal mendakwa bahawa dia diutuskan Tuhan untuk melakukan pembakaran itu sesuai dengan berita daripada Kitab Zakaria. Zionis Yahudi dengan selamba membebaskan Dennis dengan alasan 'gila'. Maka, atas sebab itu dia tidak dapat dipertanggungjawabkan atas kejadian tersebut.

Pengadilan pura-pura ini tidak dapat diterima sama sekali oleh Umat Islam sedunia. Negara-negara Umat Islam seluruh dunia bangkit bersatu hati untuk mempertahankan Masjid suci dan mengecam perbuatan keji tersebut. Maka, sejak peristiwa itu, 21 Ogos setiap dijadikan Hari Al Quds Seduania!

Remembrance Of Al Quds Day (ROQ)

Akhir-akhir ini, kita mengetahui adanya usaha-usaha untuk meruntuhkan Masjid Al Aqsa. Di bawahnya dibuat terowong-terowong dan dibina asas-asas Haikal Sulaiman (Sinagog Yahudi). Mereka ingin melemahkan dasar-dasar Masjid Al Aqsa, sehingga masjid itu runtuh dan mereka dapat membina Haikal Sulaiman.

Pendedahan ini mendapat respon yang besar di hati Umat Islam sedunia. Umat Islam di Malaysia yang SEDAR turut merasai bahang perjuangan menuntut pembebasan Al Quds dari nodaan Zionis Yahudi, dan akhirnya mereka menganjurkan Remembrance Of Al Quds Day (ROQ).

4 tahun lepas, ketika ROQ baru diperkenalkan di negara kita, sambutan daripada masyarakat agak 'biasa'. Mereka masih lagi teruja dengan Akademi Fantasia dan Program-program realiti lainnya yang 'hot' ketika itu.

Tetapi, begitulah setiap tahun ROQ terus diadakan. Aktivis-aktivis Palestin di negara kita tidak jemu-jemu mengadakan Seminar, Talk, Tayangan Video, Pameran dan Roadshow untuk mengketengahkan isu yang besar ini. Ketika itu, UIAM menjadi antara pentas utama aktivis-aktivis dengan diadakan TAQUE (Tears Of Al Aqsa) besempena dengan Convest (Convocation Festival).

Kehadiran pelajar-pelajar Palestin turut memeriahkan lagi ROQ di UIAM. Al Aqsa Friend Society, wadah utama pelajar-pelajar Palestin di Malaysia turut menganjurkan program-program bersama!

ROQ '08

Alhamdulillah, hari ini isu Palestin semakin mendapat tempat di hati umat Islam di Malaysia. Media massa mulai terbuka dalam membicarakan tentang isu ini. IPT-IPT seluruh negara mula mengadakan program-program di lokaliti masing-masing. Mahasiswa diajak untuk 'celik' isu Palestin.

Masyarakat umum juga tidak ketinggalan. Saban hari, ceramah-ceramah Palestin diadakan dan aktivis-aktivis sibuk mengisi program-program terbabit. Malah sekolah-sekolah pun mula membuka pintu untuk diadakan pameran dan ceramah Palestin.

Kesimpulan

Isu Masjid Al Aqsa adalah isu umat Islam sedunia, bukan isu bangsa Palestin semata-mata. Al Aqsa adalah kiblat umat Islam yang pertama. Buminya digelar bumi anbiya'. Usaha membebaskan Al Aqsa yang pertama berjaya dilakukan di Zaman Khalifah Umar Al Khattab. Kemudian disambung oleh Shalahuddin Al Ayyubi.

Kini, sekali lagi Al Aqsa dijajah, malah dinodai dan diaibkan oleh Zionis Yahudi. Maka, umat ini WAJIB membebaskan semula masjid suci itu...

p/s:- Mari kita hadiri program-program Palestin di tempat anda! Ramaikan dengan mengajak sahabat handai serta keluarga!

www.palestinkini.info
www.infopalestina.com

Baytul Fareed
Selesai pada 1:54 pm